COKLAT BARU UNTUK KELESTARIAN KANAK-KANAK
BUTTERWORTH, 15 Januari 2014 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Sekolah Kebangsaan Taman Senangan, Butterworth telah berjaya menghasilkan produk berasaskan coklat yang baik untuk kelestarian kanak-kanak.
Lebih membanggakan apabila produk yang dihasilkan telah memenangi Pingat Perak dan “Best of Category” dalam “International Invention, Innovation and Research Design Platform 2013 (IP 2013)” yang diadakan di Kampus UiTM Pulau Pinang.
Menurut ketua penyelidik, Dr Md Azman Seeni Mohamed, “produk coklat ini dihasilkan daripada empat bahan utama iaitu Madu, Minyak Zaitun, Habatus Sauda dan Gum Arabic.”
“Kesemua sumber utama produk ini dikatakan mampu merencatkan kolestrol di dalam badan. Dengan itu, secara tidak langsung ia mampu mencegah Metabolic Syndrome seperti Penyakit Kencing Manis, Darah Tinggi, Masalah Jantung dan Buah Pinggang serta Kanser pada masa hadapan kanak-kanak,” tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat berkenaan produk yang dihasilkan dalam Majlis Penyampaian Anugerah kepada 5 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Senangan yang turut membantu dalam projek penyelidikan tersebut.
Dalam majlis tersebut, Tuan Haji Supian Paiman, Pegawai Pendidikan Daerah (Utara) menyampaikan sijil penghargaan dan trofi kepada pelajar-pelajar berkenaan yang telah mengharumkan nama sekolah.
Penyelidikan yang dijalankan kira-kira setahun yang lalu telah dibayai sendiri oleh Dr Md Azman yang juga merupakan seorang Pensyarah Kanan di USM. Proses penghasilan produk coklat ini adalah sama seperti penghasilan coklat biasa di pasaran namun bahan utama yang digunakan berbeza terutamnya penggunaan Gum Arabic.
Gum Arabic adalah composite polysaccharide dietary fiber rendah kalori semulajadi dari getah pokok Akasia yang kebanyakannya diperolehi dari Negara Sudan. Penggunaan Gum Arabic ini adalah sejak zaman dahulu lagi dan penghuni padang pasir banyak memakannya untuk menjadi lebih bertenaga selain ia bertujuan untuk perubatan tradisional.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah En Ramlee Abu Bakar, Guru Besar SK Taman Senangan, Tuan Haji Roslee Mohd Daud, YDP PIBG SK Taman Senangan serta guru-guru.
Teks/Foto: Faisal Jamaludin
- Last updated on .
- Hits: 3724