Skip to main content

PERLANTIKAN “GLP LEAD INSPECTOR” DI MALAYSIA

Jahangir Kamldin copy

BERTAM, 3 Januari 2014 - Dr. Jahanghir Kamaldin, Pensyarah Kanan & Penasihat Bioesei Keselamatan Kimia & Jaminan Kualiti IPPT-USM dan juga merupakan Pengerusi Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) telah dilantik oleh Standards Malaysia sebagai “GLP Lead Inspector under Standards Malaysia Good Laboratory Practice Compliance Programme (GLP CP)”.

Menerusi perlantikan ini, beliau akan mengetuai pemeriksaan fasiliti makmal praklinikal di seluruh Malaysia untuk pengiktirafan antarabangsa OECD-GLP (Principles of Good Laboratory Practice mandated by the Organization for Economic Cooperation & Development).

Perkara ini telah disahkan sendiri oleh En. Shaharul Sadri Alwi iaitu Pengarah Akreditasi, Pengarah Besar Standard Malaysia yang telah mengeluarkan surat tawaran tersebut pada 16 Disember lepas. Dr. Jahangir Kamaldin merupakan GLP Lead Inspector kedua di bawah Standards Malaysia GLP CP selepas Puan Fariza Wan Abdullah yang merupakan Pegawai Kanan Standards Malaysia.

Menurut Dr. Jahaghir, beliau merupakan ahli akademia pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang telah menerima pentauliahan atau perlantikan ini. Beliau berharap semoga dengan perlantikan sebagai “GLP Lead Inspector” ini akan memberikan lebih keyakinan untuk membolehkan ARC-IPPT (Preclinical Translational Unit) memperolehi pengiktirafan OECD-GLP seawal yang mungkin. Ini seterusnya dapat mengharumkan nama Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) di persada dunia.

Selain itu juga, perlantikan ini dapat memberikan suntikan semangat kepada semua kakitangan akademik dan warga Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) untuk terus memajukan diri serta berusaha lebih keras untuk memastikan institut ini terus berkembang dan maju dengan jayanya.

 

 

Teks: Nurul Khairul Atiqah Rashidi (Pelajar Latihan Industri)

  • Last updated on .
  • Hits: 2949