Skip to main content

WARGA IPPT TAWAN PUNCAK JERAI

Jerai

Jerai2

GURUN, 19 Dis 2013 – Seramai 30 orang staf Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM telah berjaya menawan puncak Gunung Jerai, Kedah menerusi Program Jawlah Mahabbah Gunung Jerai anjuran Unit Hal Ehwal Islam (UHEIS) IPPT baru-baru ini.

Gunung Jerai setinggi 1,217 meter dari paras laut ini merupakan antara kawasan tanah tinggi yang masih lagi terpelihara keindahan dan keasliannya. Kawasan pergunungan yang terletak di dalam daerah Kuala Muda ini adalah lambang kemegahan negeri Kedah Darul Aman.

Para peserta berjaya menamatkan pendakian setelah hampir 5 jam mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan. Pendakian ini mampu membentuk keberanian, ketahanan mental dan fizikal, kemahiran berkomunikasi, selain semangat bekerjasama dalam kalangan peserta.

Pengarah program, Encik Ahmad Nizar Abd. Hamid berkata, “program pendakian ini adalah merupakan julung kali diadakan dan ia bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama dan penyatuan antara warga IPPT selain merupakan satu aktiviti riadah yang dituntut dalam Islam. Ia juga bertujuan untuk menyemai serta menyemarakkan lagi semangat cintakan alam semulajadi ciptaan Allah S.W.T.”

"Saya rasa sangat berbangga apabila semua peserta yang mengikuti program ini berjaya menamatkan aktiviti pendakian di puncak Gunung Jerai tanpa sebarang masalah walaupun semua peserta bukanlah merupakan pendaki profesional. Kejayaan ini membuka lembaran baru buat kami dan mungkin aktiviti riadah seperti ini akan diperbanyakkan,” tambahnya lagi.

Aktiviti pendakian ini turut diselitkan dengan tazkirah-tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Shukri Osman, yang juga merupakan salah seorang peserta pendakian. Selain itu, sepanjang pendakian peserta juga mengambil kesempatan yang ada untuk menerokai setiap khazanah yang tersembunyi di dalamnya di samping menikmati keindahan alam semulajadi yang sangat unik.

Kejayaan para peserta diraikan dalam satu majlis penutup yang ringkas dengan penyampaian cenderamata penghargaan kepada Pegawai Perhutanan dan dua orang pendaki pengiring yang turut membantu dalam menjayakan program tersebut.

 

Teks / Foto : Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 2859