Skip to main content

KLUSTER PERUBATAN INTEGRATIF LAWAT TAMAN HERBA

Taman Herba

Taman Herba2

BATU GAJAH, Okt 2013 - Kluster Perubatan Integratif, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM telah mengadakan lawatan kerja ke Taman Herba Negeri Perak dan FELCRA Berhad yang terletak di Daerah Batu Gajah. Seramai 16 orang peserta yang terdiri dari Pensyarah, Pegawai Penyelidik, Pegawai Sains, Juruteknologi Makmal Perubatan dan kakitangan pentadbiran telah menyertai lawatan sehari ini.

Tujuan utama lawatan kerja ini diadakan ialah untuk mengenali spesis herba perubatan serta mendapatkan bekalan pokok herba. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan untuk meninjau projek yang dijalankan oleh pihak mereka dan perbincangan mengenai projek yang akan dijalankan pada masa hadapan.

Taman Herba ini terletak di Kampung Kepayang, Perak Darul Ridzuan. Pembantu Pertanian taman berkenaan, Puan Azizah Meor Hashim berkata, “taman herba ini berkeluasan 22 hektar dan mempunyai 527 spesis tumbuhan herba untuk pelbagai kegunaan seperti perubatan, aromatherapi, dan kosmetik, termasuk sebagai ulam dan rempah.”

“Keistimewaan taman ini membolehkan para pengunjungnya mempelajari mengenai pokok herba dan manfaatnya tanpa perlu mengembara jauh ke hutan belantara," tambahnya lagi.

Taman Herba ini turut dilengkapi dengan kemudahan seperti trem, tapak perkhemahan, surau dan dewan taklimat. Kedudukannya yang terpencil juga sesuai bagi aktiviti seperti memancing.

Antara pokok herba yang terdapat di sini ialah Halia Bara (Zingiber officinale), Lelipan Hijau (Pedilanthus tithymaliodes), Lemba (Cucurligo latifolia) dan banyak lagi. Kawasan taman ini terbahagi kepada beberapa kategori tumbuhan herba seperti Laman Warisan, Laman Aromatik, Laman Rempah Ratus, Laman Kosmetik, Laman Ulaman dan Laman Perubatan.

Peserta turut melawat ke FELCRA Bio Valley Kampung Gajah Seberang Perak, bagi melihat aktiviti penyelidikan yang dijalankan bagi mewujudkan persekitaran lebih sihat dengan memproses semula bahan buangan industri ladang atau pertanian untuk menghasilkan produk yang mempunyai nilai pasaran tinggi dan mesra alam.

Menurut Encik Fakhrul Adabi Setu, Pengurus Perladangan, “program berkonsepkan sifar sisa dan kitaran semula ini adalah bertujuan menghasilkan keadaan persekitaran yang bersih serta mampu menjana pendapatan daripada produk-produk yang dihasilkan.”

Menerusi lawatan ini, peserta boleh mengambil manfaat dengan melihat sendiri dan mempelajari pembangunan industri pertanian serta penternakan di negara ini secara menyeluruh.

 

Suntingan : Faisal Jamaludin     Berita Asal & Foto : Hartini Abdul Ghani

  • Last updated on .
  • Hits: 3954