Skip to main content

LAWATAN KERJA PENDAFTAR USM

Pendaftar

BERTAM, 27 November 2013 – Jabatan Pendaftar Universiti Sains Malaysia telah mengadakan lawatan kerja ke IPPT bagi melihat dengan lebih dekat perkembangan terkini Sumber Manusia di IPPT. Delegasi lawatan ini telah diketuai oleh Puan Siti Zubaidah A.Hamid, Pendaftar USM.

Lawatan ini adalah merupakan program turun padang oleh Jabatan Pendaftar USM yang merupakan ‘badan induk HR’ yang juga bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal sumber manusia dan pembangunan organisasi di kampus-kampus cawangan USM termasuklah IPPT di Bertam ini.

Sempena dengan lawatan ini taklimat bertajuk ‘Pembentangan Halatuju dan APEX Fasa II IPPT’ telah disampaikan oleh Pengarah IPPT, Prof. Abd Aziz Tajuddin kepada Pendaftar dan delegasinya. Manakala taklimat mengenai ‘Perkembangan Terkini Sumber Manusia IPPT’ telah disampaikan oleh Encik Hazlan Abdul Hamid, Ketua Penolong Pendaftar IPPT. Selain itu, sesi dialog delegasi bersama Pengurusan Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Operasi (JKPO) IPPT turut diadakan.

Dalam taklimatnya Prof. Aziz berkata “fokus utama IPPT buat masa ini adalah menawarkan perkhidmatan radioterapi dan rawatan kanser kepada masyarakat kerana sehingga kini belum ada pusat radioterapi kerajaan di kawasan utara dan semua kes radioterapi dirawat di hospital swasta yang diberi subsidi oleh Kementerian Kesihatan”.

Tambah beliau lagi perkhidmatan radioterapi akan menjadikan IPPT sebagai pusat rujukan tertiari bagi rawatan kanser di zon utara dan ini sekaligus memenuhi matlamat awal penubuhan IPPT oleh Jemaah Menteri pada tahun 2002 yang telah memberi penekanan kepada perkhidmatan rawatan kanser sebagai agenda utama penubuhan IPPT.

Seterusnya rujukan pesakit-pesakit kanser ini akan merancakkan lagi aktiviti akademik khususnya bagi program Sarjana Perubatan (Perubatan Nuklear) dan penyelidikan kanser yang akan merintis ke arah pengwujudan program akademik baharu oleh USM iaitu Sarjana Perubatan (Perubatan Onkologi) di negara ini yang mana setakat ini hanya Universiti Malaya sahaja yang menawarkannya.

Pendaftar, Puan Siti Zubaidah A. Hamid dalam ucapannya telah memberikan komitmen untuk membantu IPPT khususnya dari segi keperluan tenaga sumber manusia bagi mencapai matlamat untuk menjadi pusat rujukan kanser yang tersohor di zon utara.

Delegasi Jabatan Pendaftar USM turut disertai oleh Tuan Haji Mohd Saad Haji Din, Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Tuan Haji Ramli Osman, Timbalan Pendaftar Seksyen Pengambilan & Pembangunan Staf dan para pegawai daripada Jabatan Pendaftar.

 

Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid  / Foto: Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 3644