Skip to main content

DISIPLIN INFEKTOMIK : CADANGAN PROGRAM PENGAJIAN BAHARU

Infektomik

BERTAM, 18 Nov 2013 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia telah mengadakan bengkel perangkaan/pengstrukturan program akademik Ijazah Sarjana Sains Infektomik di bawah kelolaan Kluster Infektomik di Hotel Seri Malaysia, Bertam Kepala Batas, Pulau Pinang.

Bengkel dua hari ini diadakan bertujuan untuk membincangkan pengstrukturan program baharu Ijazah Sarjana Sains (Infektomik) yang bersesuaian dengan kurikulum universiti dan juga meninjau permintaan pasaran bagi menghasilkan kepakaran dan kecekapan dalam menangani ancaman bahaya penyakit berjangkit yang disebabkan oleh beberapa mikroorganisma patogen seperti virus, bakteria, kulat, protozoa dan parasit multisellular secara tempatan dan global yang tepat dan bersepadu melalui kajian genomik dan proteomik struktur serta fungsi jangkitan mikrob.

Infektomik adalah disiplin baru (secara relatif) dalam bidang penyakit berjangkit yang melibatkan jangkitan mikrob. Disiplin ini wujud hasil daripada gabungan pendekatan teknologi tinggi pemprosessan “omik” (high-throughput omic) yang meliputi pelbagai aspek molekul (genomik, proteomik, transkriptomik dan metabolomik) dan aplikasi komputer dengan pendekatan konvensional untuk sesuatu kajian penyakit berjangkit.

‘Infektom’ (ciri-ciri molekular pada perumah dan patogen yang terlibat dalam penyakit berjangkit) kini boleh dianggap sebagai panduan lengkap kepada asas jangkitan mikrob. Disamping itu, ketersediaan maklumat genomik keseluruhan organisma hidup juga telah banyak membuka ruang integrasi kepada kajian dalam disiplin Infektomik.

Kesimpulannya, Infektomik boleh ditakrifkan sebagai kajian infektom, yang dikodkan oleh genom mikrob dan hos mereka. Gabungan baru (contohnya DNA dan protein microarray) dan pendekatan tradisional (seperti pengklonan, PCR, gene “knock-out”) akan membantu mengatasi cabaran-cabaran yang kita hadapi hari ini.

Seramai 26 orang peserta yang hadir termasuk 7 orang panel jemputan dari luar IPPT iaitu Dr Hasmaizal Bin Hassim (Pakar Perubatan Kesihatan Awam Ipoh Perak), Dr Chow Ting Soo (Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Pulau Pinang), Profesor Dr Fong Mun Yik dari Universiti Malaya, Profesor Dr Itam Sulaiman dari Allianze University College of Medical Sciences, Profesor Madya Dr Ahmad Hj Muhamad dari Unit Kualiti USM, Profesor Dr Sudesh Kumar dan Profesor Dr Mohamad Razip Samian dari Pusat Pengajian Kajihayat USM bagi berkongsi idea dan cadangan untuk proses penyediaan dokumen-dokumen tertentu sebelum program akademik tersebut dapat dilaksanakan.

Majlis Perasmian bengkel berkenaan telah disempurnakan oleh Dr. Shahrul Bariyah Sahul Hamid, Timbalan Pengarah Akademik, Pengantarabangsaan dan Prestasi Organisasi, IPPT.

Hasil daripada bengkel ini, satu kertas kerja lengkap akan disediakan untuk dibawa ke peringkat seterusnya bagi mendapatkan kelulusan daripada pihak universiti. Pihak Kluster Infektomik mensasarkan untuk memulakan perlaksanaan program akademik ini pada sidang akademik 2015/2016. Semangat kerjasama tinggi yang telah ditunjukkan oleh ahli-ahli bengkel membolehkan matlamat bengkel telah dicapai dengan jayanya.

 

Teks: Dr Doblin Sandai  / Foto : Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 3032