Skip to main content

PENSYARAH IPPT KE-3 ANUGERAH PENYELIDIK MUDA

Tan Jun Jie

KUALA LUMPUR, 10 Nov 2013 - Pensyarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Tan Jun Jie dari Kluster Perubatan Regeneratif telah memenangi tempat ke-3, Anugerah Penyelidik Muda (Young Investigator Award). Anugerah ini diperolehi pada Persidangan Serantau Perubatan Molekul ke-5 dan Persidangan Penyelidikan Kanser Kebangsaan.

Persidangan ini adalah yang pertama dianjurkan oleh Institusi Biologi Molekul Perubatan (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama-sama dengan beberapa pusat penyelidikan dan universiti tempatan. Program yang berlangsung selama 3 hari ini telah diadakan di The Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur.

Persidangan anjuran bersama beberapa organisasi lain ini termasuk INFORMM, USM menerima banyak penyertaan daripada institusi dari dalam dan luar negara. Daripada penyertaan yang diterima, hanya enam abstrak untuk kategori perubatan molekular dan enam abstrak untuk kategori kajian kanser sahaja dipilih untuk ke peringkat akhir untuk dibentangkan secara lisan dalam pertandingan Anugerah Penyelidik Muda.

Kajian bertajuk ‘Madu Tualang Meningkatkan Penghijrahan Sel Epitelium Kornea Manusia dan Ketahanan Sel Terhadap Tekanan Oksidatif Secara In Vitro’ telah dibentangkan oleh Dr. Tan Jun Jie.

Menurut Dr Tan, “madu tualang mempunyai kandungan yang boleh merangsangkan sel induk kornea mata dari segi migrasi sel dan daya rintang terhadap tekanan oksidatif. Kesan positif ini akan membolehkan sel induk tersebut untuk terus bertahan hidup apabila diserang oleh spesies oksigen reaktif yang merupakan salah satu punca penyebab kematian sel induk selepas transplantasi.”

Kajian ini juga menunjukan potensi kegunaan tambahan madu tualang dalam merawat penyakit mata yang melibatkan kerosakan kornea.

 

Teks: Siti Maisura Azmi  / Foto: Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 3280