PELAJAR IPPT TERIMA BIASISWA AGONG
BERTAM, 14 Nov 2013 – Pelajar IPPT Cik Leong Yin Yee telah berjaya mendapat biasiswa tajaan daripada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Kejayaan ini menjadikan beliau sebagai penerima tunggal bagi Universiti Sains Malaysia.
Majlis penyampaian biasiswa itu telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Almu’Tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al Marhum Sultan Badlishah di Istana Negara pada 30 Oktober 2013 yang lalu.
Pada majlis yang sama Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah berkenan untuk menyampaikan biasiswa kepada seramai 12 orang penerima yang terdiri daripada 6 orang penerima di peringkat Doktor Falsafah manakala 6 orang penerima lagi adalah di peringkat Ijazah Sarjana.
“Saya berasa amat gembira dengan kejayaan ini dan berterima kasih kepada keluarga, penaja, USM dan penyelia Dr. Tan Jun Jie” katanya ketika ditemuramah.
“Saya akan berusaha untuk menyempurnakan pengajian dengan jayanya dan berharap dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dalam bidang kajian kardiovaskular selepas menamatkan pengajian nanti,” tambahnya lagi.
Cik Leong Yin Yee adalah merupakan pelajar dalam bidang Sarjana Sains Biomedicine (Molecular and Cellular Biology) di bawah seliaan Dr. Tan Jun Jie daripada Kluster Perubatan Regeneratif IPPT.
Beliau menyatakan, kriteria untuk memohon biasiswa ini bukanlah mudah. Calon mestilah warganegara Malaysia yang berumur tidak melebihi 30 tahun sewaktu memohon. Memegang ijazah sarjana muda/sarjana dengan minimum CGPA 3.75 daripada universiti yang diiktiraf selain aktif dalam aktiviti ko-kurikulum.
Kelebihan diberikan kepada pemohon yang boleh bertutur bahasa ketiga antarabangsa dan mendapat tempat di universiti tempatan ataupun universiti terkenal (Ivy League) luar negara. Selain itu, pelajar yang ditaja perlu berkhidmat di Malaysia sekurang-kurangnya 5 tahun selepas tamat pengajian.
Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid
- Last updated on .
- Hits: 3001