KANSER MULUT: MASYARAKAT PERLU PEKA
BERTAM, 14 Nov 2013 - Bila memperkatakan tentang jenis-jenis penyakit kanser, mungkin ramai daripada kita akan terlintas di fikiran tentang Kanser Payudara dan Kanser Tulang. Tidak ramai yang mengetahui bahawa terdapat juga Kanser Oral atau lebih sinonim dengan nama Kanser Mulut yang juga menjadi salah satu daripada punca kematian. Walaupun ia tidak berada di kedudukan teratas sebagai kanser pembunuh utama di negara ini, namun ini tidak bermakna ia boleh dipandang ringan oleh orang ramai.
Selaras dengan dasar USM Kampus Bebas Tembakau, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif untuk menganjurkan bengkel mengenai oral onkologi dengan tujuan utama untuk mengemas kini dan membincangkan aspek yang berkaitan dengan kanser mulut.
Menurut Dr Norehan Mokhtar, Pensyarah Pergigian Kanan yang juga merupakan Pakar Ortodontik, IPPT USM, “kurang daripada separuh daripada kes-kes kanser mulut didiagnosis pada peringkat awal penyakit dan ini menyebabkan lebih 50% penghidap penyakit ini tidak dapat diselamatkan.”
“Pengesanan lewat ini mungkin disebabkan oleh kurangnya pengetahuan dan kesedaran mengenai tanda-tanda dan gejala kanser oral ini. Ianya bukan sahaja terjadi di kalangan orang awam tetapi juga di kalangan profesional kesihatan. Punca utama penyebab Kanser Oral ialah aktiviti merokok, mengunyah sirih dan tembakau serta pengambilan alkohol yang berlebihan,” tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena “Oral Oncology Workshop: Clinical Update” yang diadakan di Kompleks Penyelidikan IPPT, USM semalam. Bengkel yang dihadiri lebih kurang 100 orang peserta tersebut terdiri daripada mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang kesihatan oral dan pergigian. Program satu hari ini dianjurkan oleh Kluster Sains Kraniofasial dan Biobahan IPPT.
Objektif penganjuran bengkel ini adalah bertujuan untuk memberi gambaran keseluruhan tentang Kanser Oral terutama mengenai pengurusan pesakit kanser oral, jenis biopsi lisan dan prosedur pemberitahuan kes kanser mulut untuk Kementerian Kesihatan.
Antara penceramah yang dijemput khas bagi menyampaikan ceramah dalam bengkel berkenaan ialah Dr. Rullyandrianto Pan Nuriman Rachmat dari Universiti Malaya, Dr. Marzuki Zainal Abidin dari Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan Dr. Lim Woei Tatt dari Hospital Pulau Pinang.
Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 2929