IPPT PERGIAT AKTIVITI KESIHATAN BERSAMA MASYARAKAT
KEPALA BATAS, 9 Nov 2013 - Pendidikan kesihatan dalam masyarakat amat penting dan bertujuan untuk membantu individu dalam masyarakat mengaplikasikan prinsip-prinsip kesihatan yang betul bagi membolehkan mereka mengamalkannya dalam segala aspek kehidupan seharian.
Intitut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM telah mengambil inisiatif ini untuk menghadiri pelbagai program anjuran badan-badan korporat dan kerajaan bagi memberi penerangan dan melaksanakan aktiviti yang menjurus kepada kesihatan.
Program Hutan Kita anjuran Hospital Kepala Batas bersama Lanskap Malaysia telah diadakan bertujuan untuk memupuk kesedaran masyarakat betapa pentingnya menjaga hutan yang telah secara semulajadi wujud di bumi ini.
Menerusi program berkenaan, IPPT telah dijemput untuk melaksanakan aktiviti sampingan iaitu pemeriksaan mammogram secara percuma. Pemeriksaan ini dijalankan dalam Koc Penyelidikan dan Perubatan yang dilengkapi alat pengimbas mammogram.
Sementara itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Perdana, Kepala Batas dan Pusat Pendidikan Al-Islah, Sungai Petani Kedah, satu aktiviti Hari Ko-Kurikulum telah dianjurkan oleh sekolah-sekolah berkenaan.
IPPT menerusi Seksyen Farmasi, Seksyen Pergigian dan Makmal Perubatan telah mengadakan pameran bagi memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar tentang bidang perubatan dan pergigian ini. Menerusi aktiviti Pameran Pendidikan Kesihatan ini, ia mampu membantu murid meningkatkan pengetahuan kesihatan, memupuk sikap positif terhadap kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Keputusan mengadakan pameran berkenaan kesihatan kepada masyarakat bertujuan memberi peluang kepada mereka melakukan pemeriksaan kesihatan dengan mudah. Selain itu, menerusi program-program yang diadakan, ia mampu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan dan menggalakkan masyarakat mengambil tahu mengenai tahap kesihatan mereka. Kebanyakan masyarakat kini kurang menyedari bahawa banyak bentuk perubatan yang disediakan untuk merawat penyakit.
Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Amir Zaidi Abu Hassan
- Last updated on .
- Hits: 2627