Skip to main content

IPPT RANCANG PROGRAM PENGAJIAN BAHARU

Senaman Klinikal

BERTAM, 11 Nov 2013 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia hari ini telah mengadakan bengkel penubuhan program pengajian baharu iaitu Program Sarjana Sains-Senaman Klinikal dibawah kelolaan Kluster Sains Gaya Hidup. Bidang pengajian ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan menjadikan IPPT USM sebagai sebuah institut yang mempelopori bidang pengajian ini.

Bengkel dua hari ini diadakan bertujuan untuk membincangkan dengan lebih lanjut tentang program sarjana yang akan ditubuhkan dan memastikan kurikulum tersebut mengikut kriteria yang ditetapkan oleh Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualification Framework, MQF) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ia merupakan transformasi untuk menerokai dan mengeksplorasi bidang bidang baru yang dapat memberi manfaat kepada pelajar secara umum.

Seramai 15 orang peserta yang terdiri daripada pakar pendidikan perubatan dan pakar bidang pengajaran subjek dalam kurikulum perubatan dan kesihatan hadir bagi berkongsi idea dan cadangan untuk proses penyediaan dokumen-dokumen tertentu sebelum program akademik tersebut dapat dilaksanakan.

Majlis Perasmian bengkel berkenaan telah disempurnakan oleh Dr. Shahrul Bariyah Sahul Hamid, Timbalan Pengarah Akademik, Pengantarabangsaan dan Prestasi Organisasi, IPPT.

Dalam ucapannya beliau berharap agar perkongsian pintar ini menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih erat dan juga menjadi medium terbaik di masa akan datang.

Hasil daripada bengkel ini, satu kertas kerja lengkap akan disediakan untuk dibawa ke peringkat seterusnya dan mendapatkan kelulusan daripada pihak-pihak tertentu. Perancangan yang telah dilakukan oleh pihak Kluster Sains Gaya Hidup ialah untuk memulakan perlaksanaan program akademik ini dalam tahun 2014.

 

Teks: Faisal Jamaludin  / Foto: Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 2146