KLUSTER PERUBATAN REGENERATIF ANJUR BENGKEL SEMAKAN KURIKULUM
BERTAM, 8 Nov 2013 - Bahagian Akademik dengan kerjasama Kluster Perubatan Regeneratif, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM telah menganjurkan Bengkel Semakan Kurikulum, Sarjana Perubatan Transfusi dan Sarjana Sains Transfusi di Bilik Seminar ARC.
Bengkel selama 3 hari ini dianjurkan bagi menyemak semula kursus dan program peringkat pascasiswazah yang ditawarkan oleh IPPT bagi program Sarjana Perubatan Transfusi dan Sarjana Sains Transfusi agar ianya selari mengikut keperluan Hasil Pembelajaran (LO) dan Kemahiran Insaniah (KI) yang ditetapkan. Selain itu, bengkel ini adalah bertujuan untuk mendapatkan cadangan dari pakar pendidikan perubatan dan pakar bidang pengajaran subjek dalam kurikulum perubatan untuk proses penambahbaikan.
Seramai 20 orang peserta terlibat dalam bengkel tersebut. Antara yang hadir ialah Dato Dr Roshida Hassan, Pengarah Pusat Darah Negara, Dato Dr Faraizah Abdul Karim, Timbalan Pengarah Pusat Darah Negara, Dato Dr. Yasmin Ayob, Pakar Perunding Kanan, Pusat Darah Negara, Prof. Dr Narazah Mohd Yusoff, Timbalan Pengarah Penyelidikan dan penyarah-pensyarah serta Pegawai Perubatan yang terlibat dalam program pengajian berkenaan.
Majlis Perasmian Bengkel Semakan Kurikulum berkenaan telah disempurnakan oleh Prof. Abdul Aziz Tajuddin, Pengarah IPPT.
Bengkel ini diadakan berikutan dari saranan dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tentang kerangka kelayakan Malaysia yang harus dipatuhi oleh semua institusi yang menawarkan program pengajian.
Sesungguhnya semangat kerjasama tinggi yang ditunjukkan oleh ahli-ahli bengkel membolehkan matlamat bengkel telah dicapai dengan jayanya.
Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Amir Zaidi Abu Hassan
- Last updated on .
- Hits: 2532