Skip to main content

SEMINAR NAFAS SEGAR BANTU PEROKOK TEGAR

Nafas Segar

Nafas Segar2

BERTAM, 7 Nov 2013 - Merokok adalah satu tabiat kurang sihat yang amat biasa kita lihat sekarang. Mengikut statistik terkini, 50% lelaki dan 13% wanita di Malaysia adalah perokok.

Projek USM Bebas Tembakau yang diterajui oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal & Pembangunan Pelajar (BHEPP) telah bergerak sejak Mei 2012 dan polisinya telah diterima pakai di semua kampus USM bermula 1 Januari 2013. Projek dengan usahasama MySihat, Kementerian Kesihatan Malaysia ini telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, YB. Dato’ Seri Dr. Hilmi Bin Haji Yahaya di Dewan Budaya USM baru-baru ini.

Sehubungan itu, di peringkat Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), pelbagai program giat dilaksanakan bagi menyokong kempen ini. Seminar Nafas Segar anjuran Kluster Sains Kraniofasial dan Biobahan telah diadakan bertujuan untuk mempromosikan persekitaraan bebas asap rokok di IPPT.

Prof. Abdul Aziz Tajuddin, Pengarah IPPT berkata, “pada dasarnya, perubahan seseorang ke arah untuk berhenti merokok adalah terletak pada diri mereka sendiri. Pihak-pihak tertentu hanya memainkan peranan untuk membantu perokok-perokok ini untuk berhenti.”

“Kempen berhenti merokok seperti ini seharusnya diteruskan pada masa-masa akan datang serta lebih kerap diadakan dan tidak terhenti setakat ini sahaja. Matlamat USM Bebas Tembakau diharap dapat dilaksanakan dengan berkesan menerusi kerjasama yang dimainkan oleh semua pihak,” tambahnya lagi ketika menyampaikan ucapan perasmian seminar berkenaan.

Matlamat utama seminar ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai bahaya rokok kepada kesihatan. Ceramah disampaikan oleh Puan Sulastri Samsudin, Pegawai Farmasi dari Pusat Racun Negara, USM dan Dr Mazzan Md Isa, Pegawai Perubatan Pentadbir dari Pejabat Kesihatan Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Seminar sehari ini dihadiri oleh lebih kurang 40 orang peserta di kalangan warga IPPT yang rata-rata merupakan perokok tegar dan berhasrat untuk berhenti merokok.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Dr. Nurulain Abdullah Bayanuddin, Pengarah Pusat Sejahtera (Kesihatan & Pergigian) USM dan Dr Norehan Mokhtar, Ketua Sains Kluster Kraniofasial dan Biobahan IPPT.

 

Teks / Foto: Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 3393