IPPT MANTAPKAN PERSEDIAAN KE ARAH PENSIJILAN ISO
KEPALA BATAS, 30 Oktober 2013 - Persijilan MS ISO 9000 adalah merupakan satu kemestian bagi sesebuah organisasi untuk mengesahkan mereka mengamalkan sistem pengurusan berkualiti mengikut piawaian yang diiktiraf. Organisasi kerajaan mahupun swasta kebanyakannya menyedari bahawa amalan pengurusan kualiti yang baik dan mengikut piawaian mampu memastikan setiap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan berkualiti tinggi.
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) kini sedang dalam proses ke arah Pensijilan MS ISO 9001:2008. Perlaksanaan ini diletakkan di bawah tanggungjawab Unit Kualiti yang ditubuhkan khusus untuk memastikan pensijilan ini tercapai.
Pematuhan piawaian adalah merupakan perkara terpenting dalam mengekalkan amalan pengurusan berkualiti. Bagi memastikan perkara ini dapat dilaksanakan, satu Bengkel Audit Dalam MS ISO 9001:2008 telah diadakan. Bengkel selama dua hari ini telah dihadiri oleh 40 orang juruaudit yang telah dilantik di setiap bahagian di IPPT.
Pengauditan memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang sistematik. Semua yang terlibat dengan proses pensijilan khususnya juruaudit, mereka harus memahami dengan jelas peranan mereka dan kaedah-kaedah pengauditan yang betul serta mematuhi etika pengauditan yang profesional.
Bengkel yang dikendalikan oleh En Simon Tan dari Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara memberi pendedahan dan kefahaman mengenai aspek-aspek berkaitan MS ISO 9001:2008. Penjelasan dan pendedahan juga diberikan kepada bakal juruaudit IPPT mengenai aktiviti-aktiviti audit yang akan dijalankan.
Selain pembelajaran secara teori, latih tubi dan praktikal kepada bakal juruaudit juga dilaksanakan bagi memberi pendedahan mengenai situasi sebenar semasa audit dijalankan dapat diberikan. Sepanjang bengkel berlangsung, peserta diajar cara-cara merancang, melaksana, menyedia laporan dan membuat tindakan susulan di dalam melaksanakan audit dalaman.
Teks / Foto : Faisal Jamaludin
- Last updated on .
- Hits: 2957