Skip to main content

KLUSTER SAINS GAYA HIDUP BANTU KE ARAH KOMUNITI SIHAT

Aerobik

BERTAM, 24 Oktober 2013 – Kluster Sains Gaya Hidup, IPPT telah mengambil inisiatif untuk menjalankan beberapa program kesihatan dalam usaha memupuk semangat dikalangan masyarakat dan komuniti setempat yang tinggal di Taman Bandar Putra Bertam, Kepala Batas untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat. Antara aktiviti yang telah dijalankan termasuk beberapa siri ceramah kesihatan berkaitan dengan diet pemakanan, kepentingan senaman, penyakit-penyakit berkaitan dengan gaya hidup yang tidak sihat dan juga kelas masakan makanan sihat.

Bagi meneruskan kesinambungan program ini, kelas ‘aerobic dance’ telah dijalankan selama dua bulan bermula 1 Oktober dan berakhir 29 November 2013. Kelas selama satu jam ini diadakan pada hari Selasa dan Khamis setiap minggu. Kelas ini dikendalikan oleh 4 orang Pelajar Latihan Industri Program Sarjana Muda Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Arau Perlis di ‘Wellness Room’, Bangunan Kluster Sains Gaya Hidup.

Selain itu, aktiviti lain yang turut diadakan adalah ‘endurance training’ dan circuit training’. ‘Circuit training’ adalah merupakan gabungan beberapa aktiviti senaman di sepanjang laluan larian berstesen. Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan daya tahan kardiovaskular dan kekuatan otot jantung di samping itu dapat meningkatkan daya tahan otot dan menjadikan badan bertambah sihat.

Pada kebiasaanya, laluan larian adalah sepanjang 400m hingga 1600 m. Peserta boleh berjalan secara perlahan, pantas, berjoging atau berlari pecut di antara satu stesen dengan satu stesen yang lain dan setiap stesen mempunyai aktiviti yang berlainan untuk kumpulan otot yang berlainan.

Manakala ‘endurance training’ pula adalah merujuk kepada sistem Latihan aerobik berbanding anaerobic untuk meningkatkan stamina dan daya tahan seseorang yang merangkumi keperluan kardiovaskular dan daya tahan otot. Latihan ini terbahagi kepada dua (2) kategori; ketahanan umum dan ketahanan spesifik serta memerlukan latihan senaman yang konsisten bagi memperoleh kesan yang maksimum.

Program ini adalah merupakan salah satu daripada aktiviti dalam PROKOMA. Menerusi aktiviti yang dijalankan, pihak Kluster mengharapkan supaya para peserta yang terdiri daripada penduduk Taman Bertam Putra dan Komuniti setempat akan dapat mengamalkan gaya hidup yang sihat dalam aktiviti seharian mereka dengan mengaplikasikan segala aktiviti senaman yang telah diajar.

 

Teks : Norhiman Ahmad  / Foto : Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 3891