WARGA IPPT HAYATI ERTI PERISTIWA KORBAN
BERTAM, 17 Oktober 2013 - Seseorang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya untuk memberi manfaat kepada orang lain. Erti pengorbanan sebenarnya ialah usaha seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada penciptanya melalui amal perbuatannya yang ikhlas.
Apabila memperkatakan tentang pengorbanan ini, umat Islam di seluruh dunia tatkala ini sedang menghayati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim menyembelih anak kandungnya Nabi Ismail. Ini mempamerkan sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah demi menegakkan agama Islam walaupun terpaksa mengorbankan anak kesayangan sendiri. Setiap orang Islam sepatutnya memahami dan menghayati makna di sebalik peristiwa tersebut.
Salah satu keistimewaan Aidiladha ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah.
Menyedari kepentingan ibadah tersebut untuk dikongsi antara golongan yang berkemampuan dengan kumpulan yang kurang berada, warga Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM, telah menzahirkan erti pengorbanan melalui aktivti korban yang dijalankan secara bergotong-royong. Sebanyak enam ekor lembu telah dikorbankan dan dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin dan orang ramai.
Aktiviti yang menghimpunkan sebahagian daripada warga IPPT ini adalah merupakan acara tahunan dilaksanakan yang antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada pegawai-pegawai dan kakitangannya untuk beramal dan bersedekah bagi melaksanakan perintah Allah S.W.T dan melahirkan rasa bersyukur di atas rezeki, nikmat dan kurniaanNya.
Menurut Pengerusi Program, Ustaz Mohamad Shukri Osman, ibadat korban yang diadakan secara gotong-royong ini bukan sahaja sebagai memenuhi tuntutan agama tetapi untuk mengeratkan hubungan silaturrahim.
"Petugas-petugas dapat menjalin kemesraan bersama warga kerja ketika majlis berlangsung termasuk ketika sama-sama melapah, mengagih dan memasak daging korban. Menerusi program ini, apa yang penting ialah bukannya jumlah haiwan yang dikorbankan, tetapi jalinan ukuwah yang wujud dalam jiwa seluruh warga IPPT. Walaupun berbeza jawatan dan pangkat, ia tidak menghalang untuk mereka bersama-sama bersatu dalam melaksanakan aktiviti yang mulia ini.” tambahnya lagi.
Turut diadakan dalam majlis tersebut ialah bacaan tahlil dan kenduri kesyukuran.
Teks: Faisal Jamaludin Foto: Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 3383