WARGA IPPT PERLU AMAL CARA HIDUP SIHAT
BERTAM, 9 Oktober 2013 – Amalan cara hidup yang sihat perlu dipertingkatkan dikalangan masyarakat Malaysia. Ini kerana, amalan cara hidup yang tidak sihat seperti amalan pemakanan yang tidak betul akan menyebabkan seseorang mudah mengalami penyakit seperti diabetes atau kegemukan. Perkara ini jika tidak dibendung dari awal, ia akan menyebabkan penambahan jumlah pesakit diabetes di Malaysia.
Oleh itu, pihak Kluster Sains Gaya Hidup, Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT) yang diterajui oleh Profesor Rabindarjeet Singh, selaku Ketua Kluster telah menjalankan Program Énhancing Lifestyle of AMDI Staff bagi memberi pendedahan tentang amalan cara hidup yang sihat dalam usaha meningkatkan pengetahuan warga IPPT sendiri. Program ini tertumpu kepada warga IPPT sebagai peserta kerana terdapat ramai dikalangan mereka adalah diklasifikasikan sebagai “Obese”.
Program ini bertujuan untuk memberi pengenalan kepada peserta tentang perubahan amalan cara hidup yang sihat termasuk kepentingan senaman dan cara pemakanan yang sihat. Disamping itu, program ini akan memberi pendedahan kepada semua peserta tentang cara-cara penggunaan kemudahan dan peralatan senaman yang terdapat di AMDI FitnessLab.
Program yang dijalankan selama tiga jam ini mengandungi 3 sesi ceramah yang disampaikan oleh pensyarah yang pakar dalam bidang masing-masing. Ia terdiri daripada Dr. Ahmad Munir Che Muhamed (Pakar Senaman), Dr. Kavitha Menon (Pakar Pemakanan), dan Dr. Chooi Weng Tink (Pakar Psycology). Selepas sesi ceramah, peserta akan menjalankan beberapa jenis senaman seperti Cardio Exercise (Treadmill, Bicycle & Cross Trainer), Functional Exercise (Fit ball & Elastic Band), dan Aerobic Dance yang dikendalikan oleh Jurulatih Senaman iaitu En. Norhiman Ahmad, En. Arif Ismail, Cik Noor Farahiya Nisman, dan Cik Nurul Ashikin Yahaya di AMDI Fitness Lab.
Di akhir program ini, pihak Kluster mengharapkan supaya warga IPPT dapat mengubah cara hidup mereka kepada cara hidup yang sihat melalui peningkatan ilmu pengetahuan tentang pentingnya senaman, amalan pemakanan yang sihat dan tahap pemikiran terhadap senaman dan pemakanan dalam amalan hidup sihat mereka.
Teks: Norhiman Ahmad / Foto: Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 4076