Skip to main content

SENTUHAN QALBU BANTU PESAKIT KANSER

PULAU PINANG, 2 Oktober 2013 - Malaysia mencatatkan jumlah pesakit kanser yang meningkat setiap tahun. Mengikut laporan Majlis Kanser Nasional (MAKNA), 11 juta dewasa dan kanak-kanak menghidap penyakit kanser dan 6 juta darinya mati akibat kanser di seluruh dunia. Di Malaysia, seramai 45 000 rakyat Malaysia dilaporkan mengidap penyakit kanser setiap tahun. Statistik ini sangat membimbangkan kerana 3 dari 4 pesakit kanser gagal diselamatkan atau sembuh.

Menyedari hakikat ini, satu projek komuniti ‘Cancer Support Group’ telah ditubuhkan pada April lalu untuk memberi khidmat nasihat serta sokongan dan melaksanakan program komuniti kepada pesakit barah dengan nama “Sentuhan Qalbu” yang dinaungi oleh Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan (PPDU), Universiti Sains Malaysia.

Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Y.Bhg Prof. Dato’ Dr See Ching Mey berkata, “semua pihak perlu mengambil peranan dalam memastikan program seperti ini diadakan dengan lebih kerap. Ini dapat memberi pendedahan kepada seluruh masyarakat tentang bahaya penyakit kanser serta bantuan yang diperlukan pesakit kanser.”

“Warga USM juga diminta untuk sama-sama membantu sebagai sukarelawan kumpulan yang ditubuhkan ini bagi menjayakan setiap program yang dianjurkan demi kesejahteraan dan kelestarian USM,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pelancaran Kumpulan Sentuhan Qalbu yang diadakan di Dewan Budaya USM semalam. Program anjuran Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan (PPDU) dengan kerjasama Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM dan Pusat Sejahtera ini bertujuan untuk menghebahkan kepada seluruh warga USM mengenai kewujudan program-program menerusi kumpulan ini serta dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai pencegahan dan pengendalian penyakit kanser.

Y.Bhg Prof. Dato’ juga dibawa melawat pameran-pameran yang diadakan termasuk sebuah Koc Penyelidikan dan Perkhidmatan Klinikal IPPT. Koc bernilai 2 juta ini dilengkapi dengan kemudahan untuk tujuan penyelidikan dan perkhidmatan klinikal iaitu Unit Mamografi, Katil Pemeriksaan Klinikal dan Kemudahan Makmal.

Program dua hari ini telah bermula 1 Oktober lalu dengan aktiviti derma darah anjuran Pusat Sejahtera USM diikuti dengan program kempen kesedaran kanser payudara semalam. Ceramah berkenaan kanser juga turut disampaikan oleh Dr. Gokula Kumar dan Prof. Rabindarjeet Singh dari IPPT. Dalam majlis yang sama, Puan Sukhveer Kaur yang juga penghidap penyakit kanser turut berkongsi pengalaman beliau dengan peserta yang hadir bagaimana beliau berhadapan dengan penyakit yang merbahaya ini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Datin Noraizan Jamaludin, Isteri Naib Canselor USM, Prof. Dr Narazah Mohd Yusoff, Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi IPPT, Dr. Nurulain Abdullah Bayanuddin, Pengarah Pusat Sejahtera (Kesihatan & Pergigian) USM serta Datin Dr. Aishah Knight@Abd Shatar.

 

Teks / Foto : Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 5781