BAHAYA PENGGUNAAN UBAT TIDAK BERDAFTAR
BERTAM, 21 September 2013 – Penggunaan bahan psikotropik di Malaysia kini sangat membimbangkan. Menurut laporan Data Lembaga Kawalan Narkotik Antarabangsa (INCB), peningkatan penggunaan bahan ini adalah lebih tinggi berbanding negara-negara jiran yang lain seperti Thailand, Singapura dan Indonesia. Bahan psikotropik adalah sebarang dadah semulajadi atau sintetik atau sebarang bahan yang boleh mempengaruhi minda dan proses mental yang lazimnya terdapat dalam ubat-ubatan.
Menurut Puan Raihani Ramli, Ketua Penolong Pengarah Farmasi, "Penyediaan farmaseutikal mengandungi bahan itu banyak digunakan untuk tujuan menenangkan diri, mengurangkan kesakitan dan rawatan bagi batuk dan selesema,"
"Sebahagian besar kesalahan yang dikenalpasti ialah kegagalan menyelenggarakan daftar preskripsi bahan psikotropik sebagaimana yang diperuntukkan di bawah peraturan yang ditetapkan," katanya.
Penggunaan ubat-ubatan yang tidak berdaftar mungkin boleh mengancam kesihatan serta mampu menyebabkan kematian. Sebagai contoh, di China, laporan Beijing Post menyebut hampir 200,000 orang meninggal dunia saban tahun disebabkan penggunaan ubat-ubatan tiruan merbahaya yang menggunakan bahan larangan.
Puan Raihani Ramli mengupas isu berkenaan di dalam Kursus Pengendalian Bahan Psikoptopik dan Dadah Berbahaya anjuran Seksyen Farmasi, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM yang diadakan di Kompleks Penyelidikan Haiwan (ARC) di sini.
Kursus sehari ini dihadiri oleh peserta-peserta yang terlibat secara langsung dalam pengendalian ubat-ubat terkawal ini. Objektif penganjuran kursus ini adalah untuk memberi pengetahuan tentang tatacara pengendalian, merekod dan menyimpan serta peranan kakitangan terhadap bahan psikoptopik dan dadah berbahaya mengikut akta-akta yang telah ditetapkan.
Amalan mengambil ubat-ubatan ini boleh membawa kepada kemudaratan dan pelbagai kesan sampingan seperti kegagalan buah pinggang, kegagalan jantung, sindrom steroid (sistem imuniti badan dan tekanan darah juga mungkin jatuh ketika menjalani pembedahan) dan pendarahan (ketika pembedahan).
Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan adalah sebuah agensi yang bertunggungjawab di dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan dengan penggunaan bahan-bahan narkotik dan psikotropik dalam bidang sains dan perubatan. Tanggungjawab ini dikuatkuasakan melalui Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Turut bersama-sama dan merasmikan kursus berkenaan ialah Encik Md Hisham Abd Razak, Ketua Seksyen Farmasi, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia.
Teks / Foto : Faisal Jamaludin
- Last updated on .
- Hits: 6290