IPPT RANCANG KEPERLUAN UNIT KAJIAN KLINIKAL
BERTAM, 11 Sept 2013 – Sebagai salah satu Institusi Pengajian Tinggi yang diiktiraf sebagai Universiti Penyelidikan (Research University) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, USM menawarkan peluang pendidikan dan penyelidikan kepada pelajar dan juga staf. Sehubungan dengan itu, Unit Kajian Klinikal yang ditubuhkan di IPPT ini bermatlamat untuk memenuhi keperluan bidang penyelidikan dan pendidikan yang diharap akan membuka peluang yang lebih baik ke arah penyepaduan dan pembangunan kecemerlangan akademik di USM sebagai pusat penyelidikan yang komprehensif dan lestari. Melalui penyelidikan klinikal yang berkualiti dan beretika ini juga diharap dapat meningkatkan tahap kesihatan pesakit dari masa ke semasa, seterusnya memberi manfaat secara berterusan kepada masyarakat dan alam sekitar.
Unit Kajian Klinikal adalah merupakan unit yang mengendalikan kajian klinikal dan menyelaraskan semua kegiatan penyelidikan di IPPT. Ia bertujuan memenuhi syarat “International Conference of Harmonization-Good Clinical Practice” (ICH- GCP) supaya setiap kajian dijalankan secara saintifk dan beretika.
Prof. Shaiful Bahari Ismail, Timbalan Dekan Akademik dan Pembangunan Pelajar dari Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia telah dijemput untuk menyampaikan ceramah dan mengendalikan bengkel ini.
Bengkel sehari ini telah dihadiri oleh 20 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah, penyelidik dan mereka yang terlibat secara langsung dengan penubuhan dan perlaksanaan unit ini. Ini adalah bertujuan bagi mengumpul maklumat dan membangunkan kemudahan-kemudahan pentadbiran dan penyelidikan klinikal seperti membuat promosi, mengumpul data, menyemak protokol, menyediakan khidmat nasihat kepada penyelidik-penyelidik yang berminat untuk melakukan kajian klinikal dan lain-lain yang berkaitan. Melalui bengkel ini, satu garis panduan proses kerja berkaitan Unit Kajian Klinikal IPPT dapat diputuskan untuk digunapakai di unit ini.
Antara objektif yang penganjuran bengkel ini ialah untuk membincangkan halatuju dan menghasilkan perancangan strategik Unit Kajian Klinikal IPPT. Selain itu, perbincangan mengenai keperluan infrastruktur dan fasiliti untuk aktiviti kajian klinikal di IPPT juga turut diadakan. Bengkel ini juga disasarkan dapat mengenalpasti keperluan sumber manusia yang terlatih seperti pengurus projek, ahli paramedik, perangkawan (statistik), teknologi maklumat profesional dan lain-lain kakitangan teknikal yang mahir bagi menyokong operasi pangkalan data klinikal dan registri.
Teks: Mohd Faisal Jamaludin / Foto: Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 2838