WARGA IPPT GOTONG-ROYONG LAKSANA IBADAH KORBAN
BERTAM, 14 September 2016 - Majlis Korban dan Akikah peringkat Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM hari ini telah berjaya mengagihkan daging korban kepada lebih 200 orang penerima yang terdiri daripada fakir miskin dan warga IPPT sempena Hari Raya Aidiladha.
Pengerusinya, Ustazah Rohayati Daud berkata, sebanyak 3 ekor lembu yang disembelih adalah hasil daripada individu yang menyertai ibadah korban dan akikah bagi tahun ini.
“Majlis Korban dan Akikah yang dijalankan ini adalah merupakan aktiviti tahunan sempena Hari Raya Aidiladha menerusi sumbangan individu mahupun ahli keluarga yang berhasrat melaksankan ibadah ini,” katanya.
“Kita laksanakan aktiviti ini secara gotong-royong yang dihadiri oleh staf IPPT sendiri dari pelbagai jawatan. Majlis sebegini dapat menggalakkan kerjasama dan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara warga IPPT,” tambahnya lagi.
Kerja-kerja menyembelih, melapah dan membungkus daging lembu untuk diagihkan kepada warga IPPT dan orang awam bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir dua jam kemudian.
Majlis yang diadakan di Perkarangan Kompleks Klinikal IPPT ini telah dihadiri oleh 50 orang petugas yang terdiri daripada warga IPPT yang turut sama membantu menjayakan program ini.
Turut menyaksikan upacara ini ialah Prof. Dr Narazah Mohd Yusoff, Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan IPPT dan bersama-sama mengagihkan daging korban kepada penerima.
Teks / Foto: Faisal Jamaludin
- Last updated on .
- Hits: 1749