Skip to main content

PEGAWAI PERUBATAN BARU PERLU TINGKAT KEMAHIRAN ASAS PEMBEDAHAN

Basic Surgery 2016

BERTAM, 3 September 2016 - Pegawai Perubatan yang baru menamatkan pengajian atau lebih dikenali sebagai “House Officers” perlu melengkapkan diri dengan kemahiran asas pembedahan. Institut Perubatan dan Pergigian Termaju menerusi Unit Perkhidmatan Pembedahan telah menganjurkan “AMDI Basic Surgical Skills Workshop for House Officers” yang merupakan program pembelajaran amali yang komprehensif dan sistematik.

Pengerusinya, Dr. Leow Voon Meng, yang juga merupakan Pakar Bedah Surgeri Am dan Hepato-Pankreatik-Biliari (HPB) IPPT berkata, dengan bilangan Pegawai Perubatan Pelatih yang semakin ramai dan kesibukan tugas di hospital, mereka yang baru menamatkan pengajian ini tidak terdedah secukupnya kepada pengajaran dan amalan kemahiran asas pembedahan.

“Kami menganjurkan bengkel ini bagi memberi pendedahan secara amali kepada Pegawai Perubatan Pelatih ini dengan kemahiran asas pembedahan. Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta dan permintaan yang tinggi terhadap penyertaan bengkel ini, kami bercadang untuk mengadakan bengkel ini secara berkala bermula awal tahun 2017,” katanya.

“Ini adalah bengkel kedua selepas bengkel pertama yang diadakan pada April lalu dengan kerjasama daripada Syarikat B Braun mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada Pegawai Perubatan Pelatih sekitar utara,” tambahnya lagi.

Basic Surgery 2016 1

Menerusi bengkel ini, para peserta didedahkan dengan kemahiran asas pembedahan, gowning serta etika dan pengendalian asas peralatan dalam bilik pembedahan. Selain itu, para peserta akan didedahkan kepada asas bahan jahitan, jenis-jenis jahitan dan jarum yang sesuai semasa pembedahan.

Dalam penganjuran kali kedua ini, pihak penganjur mengambil inisiatif mengadakan paparan video teknik jahitan secara langsung bagi memberikan lebih pemahaman kepada peserta. Ini adalah penambahbaikan yang dilakukan setelah mendapat maklumbalas daripada peserta kumpulan pertama dan seterusnya akan ditambahbaik dari semasa ke semasa.

Teks: Faisal Jamaludin / Foto : Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 1685