IPPT ANJUR PROGRAM CERAMAH DI SEKOLAH
BERTAM, OGOS 2016 – Adalah menjadi lumrah kehidupan kita akan diuji dengan masalah dan cabaran yang mendatang. Stress terbahagi kepada dua kategori iaitu eustress (stress yang positif dan memberi motivasi), distress (stress yang negatif dan melemahkan). Stress yang berpanjangan adalah tidak baik kerana dikhuatiri boleh memberi masalah kesihatan dan mendapat penyakit.
Menyedari tentang betapa pentingnya ilmu pengurusan stress ini disebarkan kepada orang ramai, Kluster Sains Onkologi dan Radiologi (KSOR), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif mengadakan program ceramah kepada pelajar Sekolah Menengah Sains Kepala Batas dan Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Menurut Ketua Kluster Sains Onkologi dan Radiologi, Dr. Shahrul Bariyah Sahul Hamid “program ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para pelajar tentang kesan stress terhadap kesihatan, penurunan kualiti hidup akibat stress, penyakit akibat stress seperti penyakit kardiovaskular dan kanser. Di samping memberi kesedaran program ini juga bermatlamat untuk memberi kemahiran mengurus stress kepada para pelajar dan memupuk minat pelajar dalam bidang penyelidikan,” katanya.
Tambah beliau lagi antara tajuk ceramah yang disampaikan ialah bahaya merokok dan kesannya kepada kesihatan, lemak dan penyakit berkaitan dan risiko penyakit kanser. Selain daripada ceramah turut diadakan kuiz, latihan dalam kumpulan, pameran pendidikan dan penyelidikan dan pemeriksaan kesihatan.
Yang turut hadir menyampaikan ceramah ialah Pakar Telinga Hidung Tekak, Dr. Muhamad Yusri Musa, Pakar Perubatan Nuklear, Dr. Mahayuddin Abd Manap.
Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid / Foto : Norizan Ishak & Amir Zaidi Abu Hassan
- Last updated on .
- Hits: 1975