Skip to main content

IPPT BERSAMA MENJAYAKAN USM BEBAS TEMBAKAU

PULAU PINANG, 10 Sept 2013 – Universiti Sains Malaysia hari ini telah melancarkan Kempen USM Bebas Tembakau di mana ia merupakan satu inisiatif universiti bagi memastikan persekitaran kampus USM bebas daripada pencemaran asap rokok dan juga bebas daripada sebarang bentuk pengiklanan, promosi, penajaan dan penggunaan produk tembakau.

Majlis Pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, YB. Dato’ Seri Dr. Hilmi Bin Haji Yahaya di Dewan Budaya USM. Projek ini turut mendapat kerjasama daripada MySihat iaitu sebuah badan kerajaan yang giat menjalankan aktiviti promosi kesihatan.

Menurut beliau, “projek seumpama ini seharusnya menjadi contoh kepada institusi pengajian tinggi lain untuk melaksanakannya dan usaha ini harus dipergiat pada masa akan datang.”

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang mempunyai hasrat untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan cara hidup sihat, sesuai dengan objektif penubuhan MySihat untuk memperluaskan bidang promosi kesihatan dengan penglibatan masyarakat dan ianya sesuai diaplikasikan dengan penglibatan warga USM” tambahnya lagi.

Dalam majlis berkenaan juga, Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. See Ching Mey telah memerima plak Polisi USM Bebas Tembakau daripada Timbalan Menteri Kesihatan. Polisi ini telah diterima pakai di semua kampus USM seperti di Kubang Kerian, Nibong Tebal termasuk IPPT Bertam sejak 1 Januari 2013. Dengan ini, USM adalah merupakan institusi pengajian tinggi awam pertama yang melaksanakan Polisi Bebas Tembakau secara komprehensif.

Dalam pada itu juga, Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah mengiktiraf USM Sijil Riben Biru pada 28 Februari 2013 lalu di atas komitmennya melaksanakan inisiatif bebas tembakau.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Prof. Dr. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar mewakili Naib Canselor, Y.Bhg Tan Sri Dato’ Sri Dr. Haji Mohd Nasir Mohd Ashraf, Pengerusi Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat), Y.Bhg Datuk Dr. Yahya Baba, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat), Prof. Dr. Rahmat Awang, Pengerusi USM Bebas Tembakau (USMBT) dan Prof. Madya Dr Razak Lajis, Pengarah Racun Negara.

Sementara itu di IPPT Bertam, beberapa inisiatif telah diambil bagi menyokong perlaksanaan Projek USM Bebas Tembakau ini. Antaranya ialah dengan mewujudkan klinik berhenti merokok di mana ia memberi peluang kepada perokok-perokok tegar untuk berhenti merokok. Objektif penubuhan klinik ini ialah untuk mengurangkan bilangan warga IPPT yang mula merokok dangan memberi motivasi kepada mereka untuk berhenti. Selain itu, klinik ini juga menyediakan rawatan bersesuaian seperti kaunseling dan terapi gentian nikotin bagi meningkatkan kejayaan perokok untuk berhenti. Pelbagai aktiviti penyelidikan berkaitan pencegahan dan rawatan berhenti merokok juga akan dijalankan.

 

Teks : Mohd Faisal Jamaludin / Foto: Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 2082