Skip to main content

TIGA PUSAT PENGAJIAN USM ANJUR “TCC 2016”

PULAU PINANG, 10 Ogos 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Institut Perubatan dan Pergigian Termaju dengan kerjasama Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan & Sumber Mineral dan Pusat Pengajian Sains Pergigian telah berjaya menganjurkan “Translational Craniofacial Conference 2016” (TCC 2016) dengan tema ‘Enhancing Management of Craniofacial Anomalies through Innovative Solutions’.

Pengarah IPPT, Dr. Norehan Mokhtar dalam ucapan perasmiannya berharap agar persidangan ini juga menjadi platform untuk berkongsi perkembangan terkini berkaitan penemuan penyelidikan terkini, amalan dan cabaran yang dihadapi dan penyelesaian untuk menguruskan masalah kraniofasial.

“TCC 2016 akan menjadi platform kepada para penyelidik, saintis tempatan dan luar negara, pakar-pakar untuk berbincang dan berkongsi pengetahuan terutamanya dalam bidang anomali kraniofasial,” tambahnya.

Persidangan ini bertujuan menyediakan persekitaran yang sesuai bagi para delegasi memanfaatkan pengetahuan, menggalakkan pendidikan dan membina kesedaran tentang anomali kraniofasial.

Persidangan dua hari yang diadakan di Sains@USM Bukit Jambul, Pulau Pinang ini telah menarik penyertaan seramai lebih kurang 100 orang peserta dari dalam dan luar negara dan pembentangan hampir 40 kertas kerja oleh peserta meliputi pelbagai bidang penyelidikan.

Antara penceramah yang dijemput untuk berkongsi ilmu dan kepakaran dalam bidang ini ialah Profesor Dr. Peter John Anderson dari Women's and Children's Hospital, Adelaide, Australia, Profesor Dato’ Dr. Abdul Rani Samsudin dari University of Sharjah, United Arab Emirates (UAE) dan Assistant Profesor Dr. Loh Xian Jun dari National University of Singapore.

Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 1221