Skip to main content

MAJLIS SYARAHAN UMUM PELANTIKAN PROFESOR – PROFESOR DR. TANG THEAN HOCK

Syarahan Umum Prof. Tang

KEPALA BATAS, PULAU PINANG, 29 Julai 2016 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mencatatkan kejayaan apabila berjaya melahirkan seorang lagi tokoh ilmuwan iaitu Profesor Dr. Tang Thean Hock. Beliau adalah merupakan Profesor dalam bidang Biologi Molekular dan sebagai simbolik kepada pencapaian tertinggi yang diraih olehnya dalam bidang akademik satu Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor telah berlangsung di Dewan Produktiviti, Perbadanan Produktiviti Negara (MPC), Bertam, Kepala Batas di sini hari ini.

Menurut Pengarah IPPT, Dr. Norehan Mokhtar, “semenjak IPPT ditubuhkan pada tahun 2002, ini adalah merupakan Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor ke-4 dan adalah menjadi harapan beliau agar siri Syarahan Umum ini menjadi wadah perkongsian dan platform komunikasi yang berkesan untuk berkongsi pelbagai pengalaman luas dalam bidang pendidikan, penyelidikan, kepakaran dan akademik kepada seluruh warga USM dan masyarakat luar. Ia juga merupakan satu ruang yang akan mengupas dan membincangkan masalah serta isu masyarakat agar penyelesaian dapat dipertimbangkan bersama,” katanya lagi.

Dalam syarahannya yang bertajuk ‘RNA Bukan Pengekod Protein (sRNA)– Pengenalpastian, Fungsi dan Aplikasi’ Profesor Tang berkata “secara umumnya, kajian yang beliau jalankan adalah melibatkan pengenalpastian dan pencirian molekul RNA khusus yang terdapat dalam mikroorganisma (terutamanya bakteria penyebab penyakit) yang membantu meningkatkan kefahaman saintifik dalam penularan penyakit berjangkit. Hasil daripada kajian-kajian ini telah terbukti dalam aplikasi pembangunan kit-kit diagnostik yang bertujuan untuk mengesan punca jangkitan penyakit-berjangkit,” katanya.

Profesor Tang, 53, dilahirkan di Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan anak sulung daripada tujuh orang adik-beradik. Sebagai anak sulung, Profesor Tang banyak menghabiskan masa membantu bapanya, Encik Tang Pong Choon, seorang peniaga. Ibunya Puan Ang Peik Cho merupakan suri rumah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Keat Hwa (H) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa di Alor Setar. Beliau menyertai perkhidmatan di USM seawal Julai 1982 sebagai pelatih Juruteknologi Makmal Perubatan. Selepas itu, Profesor Tang menyertai perkhidmatan di Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM sebagai Penolong Pegawai Sains Perubatan.

Beliau telah dihantar ke School of Biological Sciences, University of Surrey, United Kingdom untuk menjalankan projek penyelidikan berkenaan penyakit berjangkit tuberkulosis. Lanjutan itu, Profesor Tang telah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana (Mphil) dan telah berjaya menamatkan pengajian pada tahun 1996. Kecemerlangan beliau dalam perkhidmatan dibuktikan dengan penganugerahan Anugerah Juruteknologi Negara pada tahun 1995, serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang USM pada tahun 1995 dan 1997. Kecemerlangan yang telah ditunjukkan menyebabkan beliau telah ditawarkan biasiswa dari luar negara (German Genome Centre) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah dalam bidang RNomik pada tahun 1999 di University of Muenster, Jerman.

Syarahan Umum Prof. Tang 1

Sumbangan dan bakti Profesor Tang dalam bidang penyelidikan tidak dapat disangkal lagi. Hal ini telah dibuktikan dengan Anugerah Sanggar Sanjung dalam Kategori Penerbitan Jurnal Antarabangsa dan penerbitan berimpak tinggi yang telah diterimanya selama lima tahun berturut-turut sejak tahun 2010. Beliau juga merupakan pemegang rekod penyumbang terbesar KPI IPPT dalam penerbitan jurnal antarabangsa. Selain itu, beliau juga telah memenangi beberapa pingat emas di pameran penyelidikan yang disertai dan memegang beberapa paten bagi projek penyelidikan yang telah dijalankan.

Beliau telah menerima lebih 20 geran penyelidikan sebagai penyelidik utama dan lebih daripada 30 geran sebagai penyelidik bersama. Hasil kajian penyelidikan beliau banyak diterbitkan di dalam jurnal saintifik tempatan dan antarabangsa. Pengalaman luas dalam dalam bidang penyelidikan ini telah mendapat pengiktirafan apabila beliau dilantik menjadi ahli sidang editorial bagi International Journal of Medical Sciences and Biotechnology, Journal of BioMed Research International, Nucleic Acid Research dan ABI-International Journal of Modern Science and Engineering, selain menjadi penilai kepada beberapa jurnal antara bangsa seperti Nature Communications, Nature Pharmacogenomic Journal, Tropical Biomedicine dan lain-lain. Sehingga hari ini, Profesor Tang telah menghasilkan sejumlah 68 penerbitan penyelidikan di dalam jurnal kebangsaan dan antarabangsa, kerja penyelidikan beliau telah dirujuk sebanyak 2,046 kali, dengan pencapaian indeks rujukan (H-index) 22.

Kejayaan beliau dilantik sebagai profesor bertambah manis apabila hari lahir anak sulungnya yang ke-17 jatuh pada hari yang sama dengan Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor. Ketika ditemu ramah Profesor Tang berkata “saya telah membuktikan bahawa adalah tidak mustahil bagi seseorang bermula dari bawah untuk mencapai kejayaan yang cemerlang melalui kerja keras dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi. Kejayaan ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada golongan muda untuk tidak mengenal erti putus asa. Beliau sentiasa menganggap bahawa kejayaan ini tidak akan dapat dicapai tanpa penglibatan, kerjasama dan sokongan daripada ahli keluarga dan rakan sepasukan,” katanya.

Yang turut hadir ialah Ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Shawkat Aly, Pengarah IPPT, Dr. Norehan Mokhtar, Timbalan-timbalan Pengarah IPPT, Ketua-ketua Kluster, Ketua-ketua Seksyen, guru-guru, pelajar-pelajar dan tetamu jemputan.

 

Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid / Foto : Norizan Ishak

 

  • Last updated on .
  • Hits: 2259