Skip to main content

AIDILFITRI, IPPT SANTUNI ANAK YATIM DAN PELAJAR TAHFIZ

BERTAM, 20 Ogos 2013 – Bertempat di Pusat Penyelidikan Haiwan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat IPPT bersama anak-anak yatim dari Rumah Permata Kasih dan pelajar-pelajar dari Maahad Tahfiz Al-Barakah (MANTAB) telah diadakan.

Pengarah IPPT, Prof. Abd. Aziz Tajuddin dalam ucapan berkata, “bulan Ramadhan adalah merupakan bulan tarbiyyah dan alhamdulillah kita semua telah berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan dan sekarang tibalah pula bulan Syawal untuk sama-sama kita merayakan kemenangan setelah berperang dengan hawa nafsu, menahan diri dari lapar dan dahaga dan perkara-perkara yang membatalkan puasa”. Aidilfitri membawa makna kembali kepada fitrah, suci, bersih daripada dosa dan diiringi pula dengan amalan-amalan sunat dan pahala yang berganda. Dalam erti kata yang lain kita seumpama seperti bayi yang baru dilahirkan. Beliau juga menyeru semua staf IPPT supaya meneruskan amal-amal soleh semasa Ramadhan secara konsisten dan elakkan daripada budaya beramal secara bermusim. Hal ini kerana Allah menilai amalan kita dan hendaklah kita istiqamah dalam beramal biar sedikit tetapi ianya berterusan dan berkekalan hingga ke akhir hayat kita.

Majlis yang terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan tahlil diteruskan pula dengan penyampaian sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim Rumah Permata Kasih, Permatang Pauh dan juga pelajar-pelajar MANTAB dari Kampung Masjid, Tikam Batu. Pada majlis yang sama Prof. Aziz turut menyampaikan sumbangan derma untuk pembinaan semula Maahad Tahfiz yang telah terbakar kepada Mudir MANTAB Ustaz Zamri Arshad dan turut sama menerima sumbangan ialah Rumah Permata Kasih yang menempatkan anak-anak yatim daripada usia bayi hinggalah remaja. Keriangan dan kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak yatim apabila mendapat duit raya dan semoga dengan sedikit sumbangan daripada seluruh warga IPPT ini akan membuatkan mereka sentiasa ceria dan gembira.

Warga IPPT kemudiannya dihiburkan dengan persembahan qasidah dan pentomin oleh adik-adik MANTAB dan Rumah Anak Yatim Permata Kasih. Majlis diakhiri dengan jamuan Hari Raya Aidilfitri yang meriah dengan pelbagai menu juadah dengan dihadiri oleh hampir setiap lapisan jawatan di IPPT tanpa mengira bangsa dan agama.

Berita : Mohd Nadzri Shuib

Foto: Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 2214