Skip to main content

LAWATAN KLUSTER PERUBATAN INTEGRATIF KE ECO HUB, USM

PULAU PINANG, 19 Julai 2013 – Seramai 11 orang ahli dari Kluster Perubatan Integratif, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) telah membuat lawatan ke Eco Hub, USM. Lawatan yang bertujuan untuk meninjau dan mendapatkan maklumat mengenai khasiat, cara penanaman dan penggunaan pokok herba di samping mendapatkan bekalan pokok untuk projek My Medical Herb Garden.

Eco Hub telah ditubuhkan pada 17 Dis 2008 di kawasan bangunan yang lama dan telah dibaikpulih dengan kerjasama pihak Jabatan Pembangunan USM. Eco Hub yang terletak di Lorong Pegawai, USM telah dirasmikan oleh mantan Naib Canselor USM Prof Tan Sr Dato’ Dzulkifli Abdul Razak.

“Objektif utama Eco-Hub ialah untuk menyimpan maklumat berkaitan ekologi persekitaran kampus, mengawal pokok-pokok eksotik serta bekerjasama dalam bidang penyelidikan dengan dengan pusat pengajian lain,” ujar Profesor Madya Saad Othman, Penyelaras Eco Hub yang menyambut rombongan dari IPPT bersama-sama dengan En. Mohd Hifni Baharudin, Pensyarah di Pusat Pengajian Kajihayat dan Profesor Dr, Zuraidah Mohd Yusoff, Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Farmasi serta pegawai-pegawai penyelidik Eco Hub.

Eco Hub USM merupakan usaha meningkatkan pusat rujukan dunia berkaitan ekologi dan persekitaran di Malaysia. Kawasan sebelum ini yang merupakan kawasan terbiar telah dibangunkan seperti Durian Valley yang mengandungi biodiversiti fauna dan flora. Kawasan tersebut telah dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu: Upper field, Mid Valley, North Valley, Durian Valley dan West Field. Profesor Madya Saad turut memberi penerangan ringkas mengenai pokok dan kegunaan pokok-pokok herba dalam mengubati penyakit termasuk kanser.

Ahli-ahli Kluster Perubatan Integratif yang terdiri daripada Dr Lim Vuanghao, Dr. Wan Adnan Wan Omar, Dr Eshaifol Azam Omar, Dr Ruzita Ahmad, Dr Noor Aini Saidin, Norzainah Ahmad, Zaleha Md Toha, Siti Fatimah Samsurrijal, Kalaiselvi Manveeran, Puan Roba’ayah Sidek, dan Hartini Abd Ghani turut dibawa melawat ke sekitar Eco Hub untuk mengenali pokok-pokok herba eksotik seperti Pokok Tutup Bumi, p. Jarum Mas, Robibia, Ozali,Asisstaxia, p. Ajaib, Bitangor, Moringa, Daun Sinai, Patawali , Cyprus aromatica, Lantana, Gandarusa, Kunyit, Temu Hitam, Belimbing Tanah, Yusfarus, p. Gedenuk, p.Apoksia, p. Tengek Burung, p. Damak Minyak, p. Silex, p. Kancing Baju dan lain-lain lagi.

Berita / Foto : Norzainah Ahmad / Hartini Abd Ghani

  • Last updated on .
  • Hits: 3262