Skip to main content

KAWALAN INFEKSI : ISU DAN PERMASALAHAN SEMASA

BERTAM, 3 Julai 2013 Kawalan infeksi dikaitkan dengan isu jangkitan nosocomial atau jangkitan yang diperolehi di hospital daripada pesakit, objek, persekitaran, kakitangan, pelawat dan sebagainya. Masalah ini memberi kesan yang amat serius terhadap individu, hospital dan komuniti sejagat.

Justeru, Unit Kawalan Jangkitan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan satu Seminar Kawalan Jangkitan yang membincangkan isu dan permasalahan semasa baru-baru ini. Seminar ini telah menarik lebih 50 orang peserta yang terdiri daripada staf IPPT.

Antara objektif seminar ini diadakan adalah untuk mengenalpasti permasalahan berkaitan kawalan jangkitan di tempat kerja dan membuat perancangan untuk mengatasinya di samping meningkatkan kefahaman berkaitan prosedur kawalan jangkitan di kawasan klinikal mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh World Health Organisation (WHO).

“Kita sebagai staf yang bertugas di hospital ataupun klinik haruslah peka terhadap isu infeksi ini kerana kita sentiasa terdedah dengan surgical site infection (SSI) yang boleh menjangkiti kita. Sebagai contoh kita boleh terkena SSI dalam masa 30 hari selepas aktiviti pembedahan. Manakala untuk implant pula dalam jangkamasa setahun,” terang Sister Hafizah Hamzah di hadapan para peserta.

Sister Hafizah adalah staf di Hospital Pulau Pinang. Penceramah lain yang turut memberi pengisian di dalam program ini adalah En. Taufik Sharom dari Syarikat Jaya Raya Sdn. Bhd dan En. Mohamad Zamri Wahid dari Hospital Kepala Batas.

Adalah menjadi tanggungjawab petugas kesihatan untuk memberi perkhidmatan yang bebas jangkitan dan memastikan pengamalan prosedur standard seperti kebersihan tangan, teknik aseptik, teknik pengasingan, pematuhan dasar disinfeksi dan pensterilan mengikut garis panduan yang ditetapkan supaya jangkitan ini dapat diminimumkan seterusnya memberikan kebaikan bukan sahaja kepada pesakit, bahkan kepada petugas kesihatan juga.

Berita : Mohd Nadzri Shuib

Foto : Amir Zaidi Abu Hassan

  • Last updated on .
  • Hits: 5817