HILAL RAMADHAN : PENCETUS PERUBAHAN
BERTAM, 3 Julai 2013 – Bertempat di Bilik Seminar, Pusat Penyelidikan Haiwan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) satu ceramah anjuran Unit Hal Ehwal Islam (UHEIS) telah diadakan bagi menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia. Ceramah Hilal Ramadhan ini telah disampaikan oleh Ustaz Ellias Zakaria, seorang selebriti agama yang juga Mantan YDP Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan mantan Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM).
“Seharusnya kita mengaplikasikan disiplin di bulan puasa ke dalam profesion kerja kita sepanjang 12 bulan kita bekerja dalam setahun kerana puasa itu mendidik dan melatih diri ke arah menjadi individu yang cemerlang dengan nilai-nilai yang murni,” tegas Pengarah IPPT, Profesor Abd. Aziz Tajuddin dalam ucapan beliau merasmikan program sambutan Hilal Ramadhan di sini.
Bersetuju dengan kenyataan Profesor Abdul Aziz, Ustaz Ellias menambah bulan Ramadhan adalah satu proses pembersihan dosa dan pembinaan insan yang hebat kerana jika di luar Ramadhan manusia seringkali dipimpin oleh ego dan nafsu. Justeru, kedatangan Ramadhan akan membuat manusia bermuhasabah diri dan berlumba-lumba untuk membuat kebaikan dengan tidak memperdulikan perasaan ego dan nafsu yang sentiasa merasuk hati.
Matlamat bulan puasa juga adalah untuk menyuburkan rasa syukur di dalam kehidupan kerana kita sepatutnya melahirkan rasa syukur setiap hari bukan apabila mendapat hadiah atau sesuatu ganjaran sahaja. Syukur itu pada setiap nafas yang dihembus, pada kurniaan nyawa yang masih dipanjangkan dan sebagainya.
“Ramadhan bukan sekadar puasa di siang hari sahaja, malah diisikan setiap waktu dalam minit dan saatnya dengan amalan-amalan tertentu selama sebulan. Ini secara tidak langsung menjadi serampang 4 mata agar hubungan manusia dengan Allah dapat dikukuhkan, memuliakan diri sendiri dan menjaga hubungan di antara manusia, flora dan juga fauna,” terang Ustaz Ellias.
Antara pakej-pakej yang didatangkan di bulan Ramadhan adalah berpuasa di siang hari, solat tarawikh, tadarus Al-Quran dan juga zakat. Manakala hadiah istimewa yang didatangkan Ramadhan pula adalah al-Quran dan malam Lailatul Qadar. Formula kejayaan di bulan Ramadhan adalah berpuasa, bertarawikh, bertadarus al-Quran dan solat malam setiap hari.
“Bulan puasa adalah bulan untuk kurangkan aktiviti makan dan fokus kepada ibadah. Tetapi jangan pula kita lupakan hubungan sesama manusia. Muliakan ibu dan ayah, gembirakan suami atau isteri dan anak-anak dan permudahkan urusan orang lain,” pesan Ustaz Ellias mengakhiri ceramah.
Selain ceramah Hilal Ramadhan, aktiviti lain yang turut diadakan pada hari yang sama adalah gotong-royong warga IPPT dalam membuat Kenduri Aqiqah, bacaan tahlil dan juga pemberian sumbangan Kasih Ramadhan kepada golongan masyarakat yang memerlukan.
Berita / Foto : Mohd Nadzri Shuib
- Last updated on .
- Hits: 1934