Skip to main content

HARI KELUARGA ADLC IPPT USM 2013

  

BERTAM, 1 Julai 2013 Kelab Makmal Diagnostik Termaju (ADLC), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan Hari Keluarga ADLC 2013 pada 28 hingga 30 Jun 2013 bertempat di Sandy Beach Resort, Langkawi.

Program selama 3 hari 2 malam ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan ukhuwah sesama staf Makmal Diagnostik Termaju dengan memuatkan aktiviti kerohanian dan motivasi bagi meningkatkan moral staf kerana kecemerlangan institusi keluarga dan rohani adalah pemangkin kecemerlangan kerjaya.

Program ini adalah merupakan kesinambungan dari idea ahli-ahli kelab untuk mengadakan aktiviti kekeluargaan bagi ahli kelab dan keluarga. Program ini penting kerana institusi keluarga adalah saluran asas dalam pembentukan sikap, nilai murni dan integriti seseorang individu dalam melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni dan dinamik.

Pemilihan Pulau Langkawi sebagai lokasi Hari Keluarga ADLC adalah kerana keindahan pulau lagenda itu yang tersendiri di samping kepelbagaian aktiviti yang boleh dilaksanakan bersesuaian dengan aktiviti kekeluargaan dan merupakan pulau pelancongan bebas cukai yang terkenal di seluruh dunia.

Antara aktiviti yang dilakukan adalah Mangrove Tour di Kompleks Kraf, Underwater World, Sukan Pantai (bola tampar, istana pasir, banana boat), Kerohanian merangkumi Kuliah Subuh dan Slot Motivasi dan

Makan Malam BBQ bersama seluruh keluarga ADLC.

"Alhamdulillah kita berjaya mengadakan sebuah program kekeluargaan yang baik meliputi semua aspek kesukanan, kekeluargaan dan kerohanian serta motivasi. Disamping itu, kita berjaya memupuk ukhuwah dan bakat kepimpinan serta kecemerlangan dalam mengendalikan sebuah program besar yang melibatkan kos yang agak besar." ujar Pengarah Program, Hari Keluarga ADLC IPPT USM 2013, Mohd Najwan Mohd Nasir.

Turut serta dalam program Hari Keluarga ADLC 2013 ialah Pengerusi Kelab, Puan Rohani Bakar dan Pengurus Kualiti ADL IPPT USM, En Mohd Basir Abdullah.

Berita : Mohd Najwan Mohd Nasir

Foto : ADLC

  • Last updated on .
  • Hits: 2301