PENGSTRUKTURAN SEMULA PROGRAM AKADEMIK IPPT MEMBANGUNKAN INDUSTRI NEGARA
BERTAM, 20 Jun 2013 – Tidak dapat dinafikan negara Malaysia memerlukan lebih ramai sumber tenaga yang berkemahiran tinggi dan professional yang berupaya untuk mengendalikan penyelidikan yang optimum dan memberi impak yang penting kepada bidang klinikal Perubatan Integratif.
Bagi memenuhi halatuju dan keperluan penyelidikan ke arah pembangunan dunia perubatan di dalam Malaysia dan ke arah peringkat global yang menekankan kepentingan konsep perubatan holistik serta penggunaan modaliti perubatan yang berkualiti, berkesan dan selamat, maka Kluster Perubatan Integratif, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) merasakan perlu untuk mewujudkan sebuah program sarjana, khusus di dalam bidang Perubatan Integratif.
Lantaran daripada itu, satu bengkel Pengstrukturan Semula Program Akademik di IPPT khususnya Program Sarjana Sains Perubatan Integratif telah diadakan pada 20 Jun 2013 bertempat di Bilik Seminar, Pusat Penyelidikan Haiwan yang bermatlamat untuk mereka semula secara terperinci serta membangunkan program tersebut untuk penawaran pada sidang akademik 2014/2015.
Bengkel ini dilihat menepati dengan perancangan dasar dan strategi pelaksanaan perkhidmatan Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) oleh Badan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui dokumen WHO Traditional Medicine Strategy 2002-2005 (Geneva, 2002), yang memberi penekanan ke atas penyelidikan modaliti T&CM untuk menjana bukti saintifik. Justeru usaha Kluster Perubatan Integratif ini diharapkan dapat memantapkan lagi aktiviti pelaksanaan perkhidmatan klinikal perubatan tersebut di Malaysia.
Bidang Perubatan Integratif adalah relevan kepada pembangunan industri negara dan global yang bersifat ‘demand & market-driven’. Oleh yang demikian usaha pembangunan dan perancangan aktiviti yang berkaitan dengan penghasilan produk terapeutik khususnya pada peringkat industri yang berasaskan hasil semulajadi primer dan kekayaan biodiversiti negara harus digalakkan melalui perkembangan penyelidikan dan pembangunan produk secara komprehensif dan lestari.
Bengkel ini telah mendapat sokongan dari Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementeri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kehadiran Dr. Shamsaini Binti Shamsuddin, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Amalan & Pendaftaran dan Dr. Lim Ren Jye, Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Dasar dan Perkembangan serta Dr. Suhaila Binti Ismail, Ketua Unit Perubatan Tradisional & Komplementari dari Hospital Kepala Batas. Turut hadir, Prof. Madya Saad Othman dari Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM).
Matlamat perancangan kurikulum Sarjana Sains Perubatan Integratif adalah berasaskan kepada misi Kluster Perubatan Integratif, IPPT iaitu untuk menyediakan pelantar integrasi di antara perubatan tradisional dan alternatif dengan perubatan moden melalui kaedah penyelidikan saintifik.
Kurikulum dirangka bersesuaian sebagai lanjutan kepada Ijazah Sarjana Muda modaliti T&CM yang telah ditawarkan bermula Sidang Akademik 2008/09 di beberapa IPTA dan IPTS seluruh negara. Penekanan kursus adalah berkisar aspek perkembangan pengetahuan dari sudut penyelidikan yang sistematik dan berkualiti tinggi. Para pelajar yang melalui program ini akan dilengkapi dan diperkukuhkan dengan pengetahuan asas dan teknologi serta metodologi penyelidikan terkini agar mempunyai keyakinan tinggi untuk mengenengah bukti-bukti saintifik, justeru berupaya untuk memartabatkan amalan Perubatan Integratif di Malaysia.
Penekanan kurikulum turut diberikan untuk memastikan para pelajar berupaya untuk mengendali, merancang, menganalisa maklumat secara kritikal, mengusul penambahbaikan dan menyelesai masalah serta berkemahiran dalam menjalankan penyelidikan dari peringkat fundamental kepada klinikal dan seterusnya berupaya untuk menterjemah hasil penyelidikan kepada penghasilan produk terapeutik pada skala industri. Matlamat ini adalah sejajar dengan misi dan visi IPPT untuk mempromosi konsep ’Penterjemahan Penyelidikan’ (Translational Research), dan menjadi sebuah institusi yang inovatif dalam memperkenalkan program-program pasca siswazah yang unik, menyeluruh dan lestari.
Pembangunan program Sarjana Sains (Perubatan Integratif) ini adalah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh IPPT bagi memenuhi misi dan visi negara ke arah menjadi negara maju menjelang 2020. Program ini telah dirancang dan digubal oleh pakar-pakar IPPT yang berkelayakan untuk merealisasikan penawaran kursus tersebut bagi tahun akademik 2014/2015.
Adalah diharapkan hasil perbincangan di dalam bengkel ini dapat diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan seterusnya mencipta satu lagi sejarah Negara kerana Program Sarjana Sains Perubatan Integratif ini adalah yang pertama ditawarkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia.
Berita : Hartini Abdul Ghani
Foto : Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 2272