Skip to main content

AMALAN 5S TINGKATKAN PENGENDALIAN MAKMAL DIAGNOSTIK TERMAJU IPPT

BERTAM, 12 Jun 2013 – Makmal Diagnostik Termaju (ADL), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) telah melakar sejarahnya yang tersendiri apabila telah mengadakan majlis pelancaran 5S iaitu satu kaedah pengurusan yang dipelopori oleh pihak industri di Jepun bagi mewujudkan persekitaran kerja yang selesa, kemas dan selamat seterusnya meningkatkan kualiti persekitaran kerja yang lebih sistematik dan praktikal.

Pengarah IPPT, Profesor Abdul Aziz Tajuddin yang menyempurnakan Majlis Pelancaran Amalan 5S ADL telah melahirkan rasa syukur di samping menyatakan sokongan terhadap program sebegini demi penambahbaikan proses kerja yang lebih sistematik dan kondusif.

5S adalah singkatan bagi sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal. Langkah ADL untuk mengamalkan 5S dilihat mampu memperkukuhkan lagi jenama ADL seiring dengan pengiktirafan dari Jabatan Standard Malaysia yang telah menganugerahkan sijil Akreditasi Makmal ISO 15189 bagi bidang pengujian 5 tahun dahulu.

ADL yang terdiri daripada 6 seksyen iaitu Patologi Kimia, Hematologi, Genetik, Histopatologi, Mikrobiologi dan Perubatan Transfusi adalah merupakan perintis bagi amalan 5S di IPPT. Usaha untuk menjayakan 5S bukanlah satu tugas yang mudah kerana memerlukan komitmen masa dan tenaga dengan tidak mengabaikan kerja hakiki di makmal.

Adalah diharapkan dengan pelaksanaan amalan 5S yang cekap, berkesan dan konsisten oleh ADL akan memberi nilai tambah kepada imej korporat IPPT seterusnya dapat dicontohi oleh setiap Seksyen di IPPT.

Berita : Siti Fatimah Ramli

Foto : Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 2902