Skip to main content

DASAR KEMANUSIAAN MENYATUKAN UMAT

BERTAM, 5 Jun 2013– Unit Hal Ehwal Islam (UHEIS) Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) telah menganjurkan Ceramah Perdana Isra’ Mikraj bertempat di Pusat Penyelidikan Haiwan IPPT. Ceramah ini telah menjemput seorang aktivis Palestin yang juga merupakan Pengurus Aqsa Sharif Pulau Pinang iaitu Profesor Dr. Roslan Hashim.

Memetik surah Al- Isra’ ayat pertama;

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

سُبحٰنَ الَّذى أَسرىٰ بِعَبدِهِ لَيلًا مِنَ المَسجِدِ الحَرامِ إِلَى المَسجِدِ الأَقصَا الَّذى بٰرَكنا حَولَهُ لِنُرِيَهُ مِن ءايٰتِنا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ﴿١﴾

Maksudnya: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.  

Selain membicarakan topik Isra’ dan Mikraj, beliau juga mengetengahkan isu-isu Palestin yang tidak kunjung aman sehingga kini. Antara perkongsian beliau adalah larangan Profesor Dr. Yusuf Al-Qardawi untuk tidak memasuki Masjid Al-Aqsa pada ketika ini kerana dikuasai Israel meskipun terdapat kelonggaran untuk umat Islam memasuki masjid tersebut atas sebab rombongan dan sebagainya. Ini adalah salah satu taktik halus pihak musuh yang menjerat umat Islam yang masuk seolah-olah mengakui kekuasaan rejim Zionis ke atas masjid tersebut.

“Apakah bahaya yang boleh dibawa oleh seorang yang buta dan lumpuh sebahagian besar anggota badan sehingga amat ditakuti oleh Israel? Begitulah kuatnya Islam, tidak terletak pada kekuatan jasmani semata,” ujar beliau menceritakan tentang As-Syahid Sheikh Ahmad Yassin, pengasas HAMAS yang telah mencetuskan intifada iaitu satu penentangan yang memberi impak besar terhadap rejim Zionis.

Profesor Dr. Roslan yang telah beberapa kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza mengajak mereka yang hadir untuk menyelami pemikiran penduduk Gaza yang disifatkan pelik oleh duta Aqsa Sharif, Afdlin Shauki. Masakan tidak, menurutnya kanak-kanak di sana tidak mahu menerima sumbangan wang. Malah jika di lihat di Malaysia, pemuda pemudi Palestin sentiasa berpakaian kemas kerana tidak mahu dilihat sebagai peminta sedekah.

Duit tidak penting bagi mereka, bahkan mereka lebih mementingkan kehadiran wajah-wajah orang Islam di luar Gaza yang hadir di bumi mereka. Ini menambahkan keyakinan bahawa bibit-bibit kemenangan sudah hampir bagi Islam. Kini, isu Palestin telah menjadi penyatuan umat Islam dan bukan Islam atas dasar kemanusiaan.

“Realitinya Gaza sangat padat dengan penduduk, hidup mereka sentiasa diawasi oleh kapal-kapal drone yang berkeliaran di langit, kaya dengan hasil laut namun dinafikan hak tersebut apabila perairannya dikawal. Kesimulannya, mereka memang tidak mampu untuk meneruskan perjuangan sekiranya tidak mendapat sokongan dari umat Islam di luar Gaza,” seru beliau.

Turut diadakan kenduri kesyukuran selepas Ceramah Perdana yang dikelolakan oleh Profesor Dr. Narazah Mohd Yusoff, Timbalan Pengarah Penyelidikan, Penerbitan dan Inovasi IPPT.

Berita/ Foto: Mohd Nadzri Shuib

  • Last updated on .
  • Hits: 1783