Skip to main content

Kluster Perubatan Regeneratif Mengetuai Program Pertukaran Pelajar dengan XXMU, China

CHINA, 13 Nov 2013 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) melalui Kluster Perubatan Regeneratif telah menandatangani perjanjian persetujuan (MoA) dengan Xinxiang Medical University (XXMU) di China dalam program pertukaran pelajar dan perkongsian penyeliaan pelajar Doktor Falsafah (PhD).

Menurut Dr Badrul Hisham Yahaya, Ketua Kluster Perubatan Regeneratif dan bertindak sebagai penyelaras program ini, XXMU merupakan sebuah university hospital awam yang di antara terbesar di China.

Menurutnya lagi, perjanjian ini memberi fokus utama penyelidikan dan penyeliaan pelajar PhD dalam bidang yang mengkhusus kepada kajian stem cell, yang mana ianya merupakan di antara fokus utama kluster perubatan regeneratif. Dalam hasrat membangunkan bidang stem cell ini ke peringkat yang lebih jauh, jalinan kerjasama di antara XXMU dan IPPT merupakan langkah yang strategik dalam pengantarabangsaan IPPT di peringkat global.

Perjanjian MoA yang dimeterai ini diketuai oleh Prof. Abdul Aziz Tajuddin, Pengarah IPPT dan bertindak mewakili Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM). Bagi pihak Xinxiang Medical University dihadiri oleh Prof. Dr. Zhikun Goa, Timbalan Presiden XXMU.

Turut hadir menyaksikan menandatanganan ini ialah Prof. Dr. Wuling Zhu, Pengarah Jabatan Sains dan Teknologi XXMU, Prof. Zhen Chen, Pengarah Jabatan Komunikasi dan Antarabangsa XXMU, Prof. Huigen Feng, Pengarah Jabatan Pengajian Siswazah XXMU dan Prof Dr Juntang Lin, Timbalan Pengarah Kolej Sains Hayatan Teknologi XXMU.

Menurut Prof. Abdul Aziz Tajuddin, penerokaan perjanjian MoA di antara IPPT USM dan XXMU ini merupakan langkah yang strategik di mana setiap pelajar yang mengikuti program ini sama ada ianya calon PhD daripada China atau tempatan, akan berdaftar di IPPT, USM di mana pensyarah di IPPT akan bertindak sebagai penyelia utama dan pensyarah di XXMU akan bertindak sebagai penyelia bersama.

Ini sudah tentu memberikan kelebihan untuk USM terutamanya IPPT dalam meningkatkan KPI dengan menerima pelajar antarabangsa sebagai calon PhD. Kelebihan kepada pelajar ialah mereka akan menjalankan penyelidikan di XXMU untuk beberapa tempoh waktu tertentu yang mana ianya sudah tentu memberi pendedahan yang meluas kepada mereka.

Penyelaras program di XXMU, Prof Dr Lin Juntang berkata, pihak XXMU amat berbesar hati dengan penerimaan pelawaan jalinan kerjasama oleh IPPT memandangkan USM merupakan sebuah universiti yang mempunyai reputasi yang tinggi di China.

Kenyataan ini disokong oleh Timbalan Presiden XXMU di mana beliau menyatakan bahawa USM telah tersenarai sebagai sebuah universiti terbaik di Asia dan merupakan universiti pertama di Asia yang telah menandatangani perjanjian dengan mereka. Ini memberikan kelebihan kepada XXMU dalam meneroka lebih banyak jalinan kerjasama dengan USM dalam bidang yang lebih luas.

Delegasi IPPT yang turut disertai oleh Dr Muhammad Yusri Musa, Timbalan Pengarah Klinikal dan Dr Badrul Hisham Yahaya, Ketua Kluster Perubatan Regeneratif telah dibawa melawat beberapa makmal dan kemudahan di XXMU. Deligasi juga di bawa melawat ke syarikat pembuatan alatan perubatan (medical devices) iaitu Touren Medical, di Weiyuan Industrial Zone, Changyuan, China bagi melihat sendiri beberapa alatan yang dicipta untuk tujuan kegunaan dalam bidang perubatan. Syarikat ini membuka kilang pembuatan mereka sendiri bagi tujuan pasaran di China dan negara-negara Eropah.

Hasil lawatan ini bakal membuka peluang kepada tenaga pakar inovasi IPPT dan USM bagi merealisasikan idea inovasi mereka ke peringkat produk untuk tujuan pasaran yang mana pihak kilang mampu menterjemahkan idea-idea inovasi kepada peralatan perubatan yang mengikut piawaian antarabangsa dengan harga yang jauh lebih murah.

  • Last updated on .
  • Hits: 1278