facebook   twitter   youtube      phone+604-5622888  

Ucapan Aluan

UCAPAN ALUAN PENGARAH

Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Sejarah penubuhan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) bermula pada tanggal 16 Oktober 2002 apabila Jemaah Menteri bersetuju untuk menubuhkan IPPT di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang dan urus tadbirnya adalah di bawah kendalian Universiti Sains Malaysia (USM).

IPPT adalah merupakan sebuah institut penyelidikan yang memfokuskan kepada tiga komponen utama iaitu perkhidmatan klinikal, penyelidikan dan program akademik pasca siswazah.  Penubuhan IPPT adalah bertujuan melahirkan pakar dan saintis perubatan dan pergigian yang kompeten, holistik dan terkini dalam amalan mereka serta berkemampuan untuk menjana penemuan baharu yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat sejagat. 

Menyedari tentang kepentingan aspek penyelidikan IPPT telah mengorak langkah dengan menubuhkan kluster penyelidikan yang bertujuan untuk memacu penyelidikan termaju dalam bidang perubatan, pergigian dan kesihatan bukan hanya untuk keperluan Malaysia bahkan keperluan negara-negara serantau dan juga global.  Kluster yang dimaksudkan ialah Kluster Infektomik, Kluster Perubatan Integratif, Kluster Perubatan Regeneratif, Kluster Sains Gaya Hidup, Kluster Sains Kraniofasial & Biobahan dan Kluster Sains Onkologi & Radiologi.

Bagi memastikan IPPT relevan bukan sahaja di Asia bahkan di persada antarabangsa, usahasama dan kolaborasi dengan institusi luar dalam bidang akademik dan penyelidikan sedang dipergiatkan.  Apatah lagi dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang semakin mencabar ini memerlukan IPPT mempunyai perancangan yang strategik untuk memastikan kelangsungan institusi ini dalam bidang perubatan dan perawatan kesihatan. Jaringan kerjasama dengan institusi ternama dalam bidang tertentu perlu diteroka dan diperluaskan untuk memastikan kesinambungan kepakaran dan teknologi perubatan yang sedia ada.

Seterusnya IPPT berhasrat menarik lebih ramai para pelajar tempatan dan antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di peringkat pasca siswazah.  Hal ini kerana dalam bidang akademik, IPPT telah berjaya melakar sejarah apabila menjadi institusi pertama di asia yang menawarkan bidang pengajian kepakaran perubatan dalam bidang Sarjana Perubatan (Perubatan Transfusi). Manakala bagi program Sarjana Perubatan (Perubatan Nuklear), IPPT adalah satu-satunya institusi yang menawarkan bidang pengajian kepakaran perubatan sebegini dalam negara.  Oleh yang demikian, IPPT optimis dalam usaha untuk meningkatkan mutu pembelajaran dan kesihatan masyarakat secara umum dan sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memartabatkan institusi ini di mata dunia.

Sekian, Wassalam.

Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman
Pengarah
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia