Skip to main content

BULAN KESEDARAN KANSER PAYUDARA PERLU DIJADIKAN SEBAGAI AKTIVITI TAHUNAN

Bulan Kesedaran Kanser Payudara

BERTAM, 21 Oktober 2016 - Bulan Oktober setiap tahun adalah merupakan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia yang bertujuan untuk mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai selain mendidik dan menyokong mereka yang menghidap penyakit ini.

Menurut Timbalan Pengarah Klinikal dan Kelestarian IPPT, Dr Muhammad Yusri Musa, sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia ini perlu diraikan dengan aktiviti-aktiviti yang memberikan pengetahuan dan kesedaran orang ramai terhadap kanser payudara.

“Kita perlu menjadikan aktiviti ini sebagai acara tahunan dengan pengisian yang lebih padat pada tahun-tahun akan datang. Penglibatan semua pihak amat penting bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dirancang berjaya dilaksanakan,” katanya.

“IPPT adalah merupakan sebuah pusat rujukan kanser dan majoriti pesakit kanser di sini adalah pesakit kanser payudara. Kini IPPT mampu melaksanakan rawatan untuk pesakit kanser payudara 100% di sini. Sudah semestinya kita perlu mendidik dan memberi pengetahuan kepada orang ramai tentang penyakit ini.”

“Memandangkan kanser payudara adalah penyakit kanser yang tertinggi sekali di dunia, kesedaran orang ramai terhadap kanser ini perlu diberi lebih perhatian,” tambahnya lagi ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Bulan Kesedaran Kanser Payudara peringkat IPPT di sini pagi tadi.

Sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara, IPPT melaksanakan pelbagai aktiviti antaranya ialah sesi ceramah, pameran kesedaran kanser payudara dan ujian saringan mammogram percuma di luar menggunakan Koc Perubatan Bergerak. Aktiviti tersebut diadakan bertujuan untuk menyasarkan peningkatkan pengetahuan mengenai kanser payudara di kalangan orang ramai.

Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2

Pengerusi Program, Dr. Farish Hafeez Shaharuddin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara ini dan mereka yang menjalankan tugas merawat pesakit kanser di IPPT.

“Sebagai kakitangan yang berhadapan dengan pesakit kanser setiap hari, diharapkan kita sama-sama membantu menyebarkan pengetahuan kita kepada rakan-rakan, saudara-mara dan orang di sekeliling kita tentang kanser payudara ini. Sekurang-kurangnya mereka yang berisiko mampu melakukan pengesanan awal dan dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.

Kanser payudara adalah kanser yang paling kerap berlaku dan penyebab utama kematian di kalangan wanita di Malaysia. Namun, kesedaran masyarakat untuk bertindak bagi melakukan pemeriksaan terhadap penyakit kanser payudara masih berada pada tahap yang rendah. Kebanyakan pesakit yang pertama kali dikesan menghidap kanser payudara telah berada dalam keadaan yang amat kritikal.

Dalam majlis ini juga, Dr. Yusri turut meluangkan masa menyampaikan sumbangan cenderahati kepada pesakit kanser yang sedang mendapat rawatan di Wad Pesakti Dalam dan Unit Rawatan Harian IPPT.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pegawa-pegawai Perubatan IPPT, Jururawat dan Staf Pentadbiran.

Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 4106