IPPT TAWAR PERKHIDMATAN TERKINI RAWATAN KANSER
BERTAM, 6 Mei 2015 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) secara rasminya telah menawarkan perkhidmatan rawatan radioterapi dan brakiterapi kepada pesakit kanser menerusi Unit Onkologi dan Radioterapi.
Radioterapi atau pun dikenali sebagai terapi sinaran adalah rawatan kanser yang menggunakan tenaga radiasi tinggi untuk membunuh sel-sel kanser dan menghalang mereka dari membiak. Manakala Brakiterapi yang juga dikenali sebagai benih radioaktif adalah satu lagi rawatan radiasi yang digunakan dalam rawatan kanser.
Menurut Pakar Perunding Onkologi, IPPT USM, Dr. Gokula Kumar Appalanaido, “rawatan brakiterapi digunakan untuk merawat pelbagai jenis kanser seperti prostat, pangkal rahim, payudara, kulit, kepala dan leher, endometrium dan tisu lembut sarkoma.”
“Rawatan ini akan menggunakan radiasi secara minimum pada kawasan terhad dan meninggalkan kesan sampingan yang rendah serta boleh dilakukan setiap hari ke atas pesakit luar atau berasaskan penjagaan harian,” tambahnya lagi.
Beliau ditemui dalam satu majlis pembukaan dan doa selamat ringkas sempena pembukaan rasmi penawaran rawatan Radioterapi dan Brakiterapi di Kompleks Klinikal IPPT baru-baru ini.
IPPT mengorak langkah ini apabila peralatan untuk melaksanakan rawatan Radioterapi dan Brakiterapi yang bernilai hampir 15 juta telah diterima sepenuhnya awal tahun ini.
Timbalan Pengarah Klinikal, IPPT USM, Dr. Muhamad Yusri Musa dalam ucapannya melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak terutama Pengurusan Tertinggi Universiti dan IPPT serta staf di semua peringkat jawatan yang telah bertungkus-lumus dari awal sehingga berjaya menawarkan rawatan radioterapi dan brakiterapi kepada pesakit yang memerlukan.
Menurutnya, “selepas ini tidak perlu lagi pesakit dihantar ke hospital swasta untuk rawatan radioterapi kerana di IPPT USM telah mempunyai kemudahan dan kepakaran untuk melaksanakannya.”
“Penawaran rawatan radioterapi dan brakiterapi bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk setempat malahan akan memudahkan orang ramai yang tinggal di kawasan utara untuk mendapatkan rawatan.”
“Kini IPPT adalah merupakan satu-satunya institusi kerajaan di kawasan utara yang menawarkan rawatan kemoterapi, radioterapi dan brakiterapi kepada pesakit kanser,” ujar beliau lagi.
Turut hadir dalam majlis pembukaan tersebut ialah Pakar-pakar Perubatan, Pegawai-pegawai Perubatan, Pegawai Fizik Perubatan, Juru X-Ray Terapi dan Jururawat.
Menurut fakta, kanser adalah merupakan salah satu daripada 5 punca utama penyebab kematian di Malaysia.
Tanda-tanda awal penyakit kanser boleh dikesan seperti pendarahan atau lelehan, masalah penghadaman atau kesukaran menelan, luka yang tidak sembuh, perubahan tabiat membuang air besar atau kecil, ketulan pada payudara atau bahagian lain, batuk berpanjangan melebihi 2 minggu dan perubahan warna atau bentuk pada tahi lalat atau ketuat.
Sekiranya mengalami tanda-tanda berikut, sila berjumpa doktor untuk pengesanan awal yang amat penting. Kebanyakan jenis kanser boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid / Suntingan: Faisal Jamaludin / Foto: Amir Zaidi Abu Hassan
- Last updated on .
- Hits: 8636