Skip to main content

USM UNGGUL DI KONVENSYEN KIK UA KE-14

KIK UA 2018 2

KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) peringkat UA kali ke-14 yang diwakili oleh Kumpulan Galaksi R3 dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT). Konvensyen yang berlangsung selama 3 hari ini menjadikan Universiti Malaya (UM) sebagai tuan rumah.

Di samping itu juga, USM turut mendapat johan bagi Kategori Teknikal menerusi Kumpulan Galaksi R3 dan johan Kategori Pengurusan menerusi Kumpulan Protech. Kumpulan Protech dari IPPT ini juga turut dianugerahkan Anugerah Inovasi Terbaik pada konvensyen berkenaan.

Menurut ketua kumpulan Galaksi R3, Puan Syuhadah Sufian beliau berasa bangga dan bersyukur dengan kejayaan ini.

“Sebagai ketua kumpulan, sudah pastinya saya berasa gembira dan bersyukur dengan hasil usaha bersama ahli kumpulan dan pihak-pihak terlibat kini membuahkan hasil. Kejayaan ini merupakan kejayaan bersama IPPT dan USM” katanya ringkas selepas kumpulannya diumumkan sebagai johan.

“Kejayaan ini tidak akan berhenti setakat ini, kami akan meningkatkan usaha untuk terus mencipta banyak lagi kejayaan pada masa akan datang terutamanya di peringkat antarabangsa pada bulan Oktober nanti di Singapura,” tambahnya lagi.

Kumpulan Galaksi R3 menghasilkan produk inovasi mereka Pro-Gait17 yang merupakan alat untuk membantu pesakit yang mengalami masalah untuk berjalan.

Menerusi penggunaan alat ini, masa rawatan berjaya dikurangkan dengan mengekalkan kualiti rawatan yang sama dan tempoh pemulihan menjadi lebih cepat.

KIK UA 2018 1

Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah ini telah dirasmikankan oleh Y.Bhg Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hj. Hashim, Naib Canselor Universiti Malaya di Dewan Tunku Cancelor.

Turut meraikan kejayaan mereka ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Y.Bhg Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein dan Pendaftar USM, Dr. Musa Ali.

 

Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Team KIK USM

  • Last updated on .
  • Hits: 781