Skip to main content

IPPT DAN BBNGO HANTAR MISI BANTUAN MANGSA BANJIR

Misi Bantuan Banjir

BERTAM, 8 November 2017 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) bersama-sama Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana Banjir NGO Malaysia (BBNGO) sedang giat menjalankan usaha membantu mangsa banjir yang masih lagi belum pulih sepenuhnya di daerah Seberang Perai Utara.

Menurut Ketua Team Sukarelawan IPPT Dr. Muhamad Yusri Musa yang juga merupakan Timbalan Pengarah Perkhidmatan Klinikal IPPT, bagi melancarkan gerak kerja IPPT telah menubuhkan pasukan sukarelawan yang terdiri daripada Doktor Perubatan, Jururawat dan staf dari pelbagai jawatan untuk membantu dalam misi kali ini.

“Hasil tinjauan mendapati lebih banyak tenaga sukarelawan diperlukan untuk membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur dan sampah sarap. Kami sedang mengiatkan usaha tersebut secara berperingkat kerana kekangan tenaga sukarelawan,” katanya.

“Saya amat menyeru supaya lebih banyak pertubuhan sukarela tampil membantu bagi meringankan bebanan mangsa banjir. Mereka yang terjejas ini amat memerlukan bantuan semua terutamanya keperluan makanan, kit kebersihan dan keperluan ubat-ubatan,” tambahnya lagi.

Bantuan segera dalam bentuk barangan keperluan kecemasan dan tenaga sukarelawan daripada BBNGO bagi membantu mangsa banjir di daerah ini adalah tepat pada masanya dan sedikit sebanyak dapat memulihkan semangat mangsa yang terlibat untuk meneruskan kehidupan seharian.

Pasukan sukarelawan IPPT dan BBNGO melaksanakan misi bantuan dengan melakukan proses pembersihan kawasan kediaman mangsa banjir yang terjejas akibat bencana tersebut di samping mengagihkan bantuan berupa bekalan makanan kepada mangsa banjir.

Antara kawasan yang dibantu dalam kerja-kerja pembersihan ialah rumah-rumah di sekitar Bertam Indah, Sungai Dua dan Lahar Yooi.


Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid | Foto : AMDI Relief Team

  • Last updated on .
  • Hits: 908