Skip to main content

EDUVARIOME BERI KESEDARAN TENTANG TALASEMIA DI KALANGAN PELAJAR SEKOLAH

Eduvariom2017

KEPALA BATAS, 26 Oktober 2017 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia telah bekerjasama dengan “Malaysian Node of The Human Project” (MyHVP) dibawah UNSECO bagi menjayakan Projek Eduvariom yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi di sini hari ini.

Projek Eduvariom adalah sebuah program perkongsian ilmu bersama komuniti dengan memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar sekolah menengah terhadap penyakit talasemia. Menerusi tema ‘Ke Arah Zero Talasemia”, program setengah hari ini telah dihadiri oleh seramai 150 orang pelajar.

Menurut Pengarah MyHVP, Prof. Dr Zilfalil Alwi, kesedaran dan pengetahuan masyarakat umum tentang penyakit Talasemia ini perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Kami mengambil peluang untuk mengadakan program kesedaran penyakit Talasemia ini untuk meningkatkan pemahaman kepada masyarakat umum terutamanya pelajar sekolah menengah,” katanya.

“Dengan adanya perlaksanaan program ini, pelajar dapat memperolehi ilmu pengetahuan tentang kepentingan saringan genetik dalam usaha memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai Talasemia ini,” tambahnya lagi ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Prof. Dr Zilfalil juga amat menggalakkan agar mereka yang mencapai usia 16 tahun untuk melaksanakan ujian sariangan Talasemia bagi mencegah pertambahan penyakit ini di Malaysia.

Dalam program berkenaan, satu sesi forum turut diadakan bagi membincangkan berkenaan keperluan Ujian Saringan Talasemia yang disertai oleh Dr. Choo Chong Ming, Ketua Jabatan Peditrik Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Puan Noorasyikin Md Saad, Presiden Persatuan Talasemia, Pulau Pinang, Prof. Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya dan Dr. Abdul Rahim Hussein yang masing-masing dari IPPT.

Talasemia adalah penyakit genetik atau keturunan di mana anak akan mendapat gen talasemia daripada ibubapa. Ianya bukan penyakit berjangkit, iaitu tidak boleh ditransmisi melalui darah, udara dan air, atau melalui sentuhan fizikal dan seksual dengan pesakit talasemia. Lelaki dan perempuan mempunyai peluang yang sama untuk mendapat penyakit ini.

Satu daripada dua puluh penduduk Malaysia adalah pembawa gen talasemia. Di Malaysia, terdapat 600,000 hingga 1 juta pembawa talasemia dan lebih kurang 2500 pesakit talasemia major. Kebanyakan pesakit adalah daripada keturunan Melayu, Cina dan kaum Bumiputra Sabah.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Timbalan Pegarah Penyelidikan dan Inovasi IPPT, Prof. Dr. Narazah Mohd Yusoff yang juga selaku Penasihat Projek Eduvariom IPPT dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Datuk Haji Ahmad Badawi, Encik Mohd Nazir Othman.

 

Teks: Faisal Jamaludin | Foto: Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 1705