Skip to main content

RAMADHAN MEMBENTUK PERIBADI CEMERLANG

Iftar Perdana 001

BERTAM, 13 Jun 2017 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia sekali lagi menganjurkan “Majlis Iftar Perdana 2017” bersempena bulan Ramadan 1438H. Majlis tahun ini yang bertemakan “Ramadhan Membentuk Peribadi Cemerlang” telah diadakan di Kompleks Penyelidikan Klinikal semalam. Seramai lebih 300 tetamu hadir dalam majlis berkenaan yang terdiri daripada warga kerja IPPT bersama ahli keluarga serta pegawai utama universiti.

Majlis tahunan yang diadakan ini bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim antara warga IPPT dan pengurusan tertinggi university. Majlis ini turut meraikan 50 orang anak-anak yatim dan asnaf yang terdiri daripada penduduk sekitar Bertam.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, program seperti ini merupakan satu aspek tambah nilai bagi universiti kerana ianya bukan sahaja merapatkan silaturrahim sesama warga kerja, malah kesempatan ini turut memberi peluang kepada universiti untuk menyumbang kembali kepada masyarakat terutamanya anak-anak yatim serta insan yang kurang bernasib baik.

“Saya berharap sumbangan kita kepada masyarakat tidak terhenti di sini sahaja dan saya ingin menyeru warga IPPT supaya teruskanlah berbakti dengan memberikan perkhidmatan kesihatan dan rawatan yang terbaik kepada semua ahli masyarakat," katanya.

"Semoga dengan cara ini masyarakat setempat akan lebih mengenali kita dan yang paling penting masyarakat terkesan dengan kehadiran IPPT di Bertam ini”, tambahnya lagi.

Iftar Perdana 002

Pada majlis tersebut, IPPT telah menghulurkan sumbangan duit raya serta hamper makanan kepada anak-anak yatim dan asnaf yang hadir. Sumbangan ini telah disampaikan oleh Y.Bhg Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USM.

Menerusi sumbangan yang diberikan, sekurang-kurangnya dapat memberikan keceriaan kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

IPPT juga telah menganjurkan pelbagai aktiviti bersempena bulan Ramadan ini di bawah payung Program Ihya Ramadhan. Antaranya adalah Program Ziarah Amal Ramadhan, Program Bicara Ilmu, Majlis Ilmu “Fikrah Ramadhan” dan “Pesona Muslimah” serta aktiviti gotong royong bagi penyediaan juadah berbuka.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Dr. Abdul Rahman Mohamed, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato' Dr. Abd. Aziz Tajuddin, Pendaftar USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, Pengarah Kampus Kejuruteraan dan Profesor Madya Dr. Sofri Yahya, Pengarah Pusat Islam USM.

Iftar Perdana 003

 

Teks / Foto : Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 994