Skip to main content

IPPT SASAR REMAJA SEKOLAH UNTUK KEMPEN KESEDARAN KANSER

Hari Kanser SMK Dato Kailan 1

BERTAM, 19 April 2017 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM mensasarkan pelajar sekolah dalam Kempen Kesedaran Kanser sempena Hari Kanser Sedunia tahun ini. Kempen yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Kailan, Kepala Batas, Pulau Pinang ini melibatkan kehadiran 400 orang pelajar dan guru-guru dengan tema “We Can, I Can”.

Menurut Pengerusi Program yang juga Ketua Kluster Sains Onkologi dan Radiologi IPPT, Dr. Shahrul Bariyah Sahul Hamid, tema tersebut dipilih bersesuaian dengan Hari Kanser Sedunia. Selain itu, matlamat lain adalah untuk memupuk minat pelajar dalam bidang sains.

“Kita mensasarkan pelajar sekolah menengah bagi meningkatkan kesedaran mengenai pengesanan awal dan juga pencegahan kanser. Mesej utama dalam program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser melalui pendidikan pencegahan kanser berasaskan gaya hidup dan pemakanan yang sihat,” katanya.

“Kami berharap agar menerusi program ini, ia dapat meningkatkan kefahaman pelajar sekolah terutamanya golongan remaja mengenai faktor-faktor risiko penyakit kanser,” tambahnya lagi.

Program setengah hari ini melibatkan pelbagai aktiviti antaranya ialah sesi ceramah berkenaan kanser, aktiviti pameran penyelidikan, saringan kesihatan, serta kempen berhenti merokok.

Seramai lima orang penceramah yang juga pensyarah dari IPPT menyampaikan ceramah dalam program ini.

Aktiviti pameran juga mendedahkan kepada pelajar berkenaan pengunaan alatan berteknologi yang digunakan dalam diagnosis dan rawatan kanser seperti unit CT scan, MRI, SPECT-CT dan LINAC.

Interaksi dua hala melalui kuiz ringkas membolehkan pelajar memahami konsep pencegahan, diagnosis dan rawatan kanser moden.

Kebanyakan guru dan pelajar menyambut baik program yang dijalankan ini kerana ia dilihat memberi banyak manfaat dan kesedaran tentang penyakit kanser. Mereka berharap agar program ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

  • Last updated on .
  • Hits: 1258