Skip to main content

MASYARAKAT DIGESA MENJAGA KESIHATAN BUAH PINGGANG

SAMBUTAN HARI BUAH PINGGANG 3

BERTAM, 27 Mac 2017 – Mengikut statisktik, hampir 7 ribu pesakit buah pinggang baharu dicatatkan di negara ini serta perlu menjalani rawatan dialisis setiap tahun. Dijangkakan hampir 50 ribu pesakit akan mendapatkan rawatan pada tahun 2020 dan jumlah ini dilihat meningkat dari tahun ke tahun.

Menurut Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian dan Piawaian IPPT, Dr Muhamad Yusri Musa, masyarakat perlu memandang serius tentang perkara ini dan tidak hanya mengambil mudah.

“Situasi peningkatan pesakit buah pinggang ini amat membimbangkan dan kita sebagai warga IPPT yang terlibat secara langsung dalam bidang perubatan perlu menyebarkan maklumat tentang penjagaan kesihatan buah pinggang ini kepada masyarakat,” katanya.

“Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak untuk menjaga pemakanan agar mengelakkan makan makanan yang tidak berkhasiat. Jangan dedahkan anak-anak kepada makanan segera atau minuman berkarbonat kerana boleh menyebabkan kegemukan dan sekali gus berisiko tinggi mengalami kerosakan organ buah pinggang.”

“Sekiranya ibu bapa sendiri yang tidak menjaga pemakanan berkhasiat, anak-anak akan turut mengikut jejak langkah tersebut dan ini mengundang risiko penyakit buah pinggang dan obesiti,” tambahnya lagi ketika menyampikan ucapan perasmian sempena Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat IPPT di sini hari ini.

SAMBUTAN HARI BUAH PINGGANG 2

Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2017 yang bertemakan 'Penyakit Buah Pinggang dan Obesiti' ini adalah pertama kali disambut di IPPT.

Dalam majlis sambutan ini, Dr. Tan Kok Leng, Pakar Perubatan IPPT turut menyampaikan ceramah berkenaan kepentingan penjagaan buah pinggang dan obesiti di kalangan masyarakat.

Menerusi ceramhanya, Dr. Tan mengingatkan masyarakat agar mengamalkan gaya hidup sihat serta peka dengan bahaya obesiti dan kesannya terhadap kesihatan buah pinggang.

Penyakit berkenaan mampu dicegah melalui pendidikan dan kesedaran tentang risiko obesiti selain mengamalkan gaya hidup sihat. Ini termasuk mengambil makanan berkhasiat dan bersukan.

Antara aktiviti lain yang dijalankan ialah pameran, sesi ceramah kesihatan, kuiz kesihatan dan lain-lain lagi. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya penjagaan kesihatan buah pinggang.

Turut hadir dalam majlis perasmian berkenaan ialah Ketua Perkhidmatan Pembedahan dan Anestesiologi IPPT, Dr. Zainab Abdul Ghaffar.

 

Teks/Foto: Faisal Jamaludin

 

  • Last updated on .
  • Hits: 1640