Skip to main content

8 PELAJAR IPPT TERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN AKADEMIK

IMG 5886

BERTAM, 24 Mac 2017 – Seramai 8 orang pelajar, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia telah diberikan penghargaan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2017 yang diadakan di Kompleks Penyelidikan Haiwan (ARC) di sini hari ini.

Majlis yang diadakan setiap tahun ini diadakan bertujuan bagi memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar IPPT yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tidak kira sama ada di peringkat Sarjana atau PhD.

Menurut Pengarah IPPT, Dr. Norehan Mokhtar dalam ucapannya berkata, para pelajar di IPPT dilihat sangat berpotensi dan penghargaan seharusnya diberikan kepada mereka yang berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

“Dengan penghargaan yang diberikan ini, diharap ianya mampu menyuntik semangat pelajar-pelajar lain untuk terus berusaha dan mendapatkan pencapaian yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

“Kecemerlangan seseorang pelajar bukan hanya terletak pada sudut akademik sahaja, ia merangkumi pelbagai aspek dalam pembelajaran antaranya kerjasama berpasukan, sikap bantu membantu dalam pelajaran serta berkongsi ilmu yang diperolehi dengan pelajar lain,” tambahnya lagi.

Dalam majlis ini, pelajar Doktor Falsafah (PhD) dibawah seliaan Prof. Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya iaitu Norashikin Zakaria telah dianugerahkan Pelajar Terbaik keseluruhan bagi tahun 2016.

Seramai 7 orang pelajar peringkat Sarjana Sains menerima Anugerah Dekan. Antaranya ialah Ooi Pei Wan, Hemalata a/p Shuvas Bahadur, Goh Ying Hwa, Lim Wen Siew, Ong Si Min, Tey Lee Hun dan Dr. Zuraini Abdullah.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Pengarah Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Penasihat Persatuan Pelajar IPPT, Dr Doblin Sandai dan Presiden Persatuan Pelajar IPPT, Mowaffaq Adam Ahmed Adam.

 

Teks/Foto: Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 1725