Skip to main content

KOMPLEKS PENYELIDIKAN HAIWAN IPPT LANCAR AMALAN 5S

 MG 6118

BERTAM, 21 Februari 2017 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) terus komited dalam meningkatkan aktiviti kualiti dengan melaksanakan amalan 5S di Kompleks Penyelidikan Haiwan (ARC) di sini hari ini.

Terdahulu IPPT telah pun dianugerahkan sijil perakuan amalan 5S daripada Perbadanan Produktiviti Negara (MPC) untuk Kompleks Penyelidikan Klinikal (CTC). Menyedari tentang kepentingan 5S kepada institusi, IPPT mengambil inisiatif dengan meluaskan amalan tersebut ke Kompleks Penyelidikan Haiwan pula.

Majlis Pelancaran 5S Kompleks ARC telah disempurnakan oleh Pengarah IPPT Dr. Norehan Mokhtar. Dalam ucapannya beliau berkata “amalan 5S memberi tumpuan kepada aktiviti seperti Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal. Sejajar dengan hasrat IPPT yang mementingkan kecemerlangan, amalan ini dapat membina sikap yang positif, meningkatkan kreativiti dan inovasi serta memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan staf.

Selain itu, melalui amalan 5S, ianya akan mendorong staf untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, bersih dan kemas yang akhirnya akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti kerja dan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti. Tambah beliau lagi amalan 5S juga merupakan salah satu bentuk pelaburan jangka panjang bagi memastikan IPPT terus teguh menghadapi apa jua cabaran mendatang dan pada masa yang sama membina reputasi sebagai sebuah institusi contoh kepada agensi kerajaan yang lain.

Menurut beliau lagi komitmen yang berterusan daripada staf amat diperlukan dalam usaha untuk mencapai sasaran pensijilan amalan 5S yang dijangkakan pada Julai 2017. Hal ini kerana setiap aktiviti 5S yang dijalankan akan dipantau dan dinilai oleh pihak audit kelak. Penglibatan dan kerjasama berterusan semua pihak amat diharapkan untuk memastikan IPPT dapat mencapai sasaran pensijilan. Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada barisan Jawatankuasa 5S/QE Kompleks Penyelidikan Haiwan (ARC) yang diketuai oleh Encik Mohamad Basir Abdullah kerana mengambil inisiatif untuk melaksanakan amalan 5S ini,” katanya.

Yang hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan merangkap Penasihat Jawatankuasa 5S/QE, Profesor Dr. Narazah Mohd Yusoff, Ketua-ketua Kluster dan staf.

Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid / Foto : Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 1390