Skip to main content

PROGRAM KESIHATAN PERGIGIAN USM BANTU INDIVIDU BERKEPERLUAN KHAS

Permatang Manggis OKU

KEPALA BATAS, 13 Disember 2016 – Individu berkeperluan khas adalah merupakan individu yang mengalami masalah seperti ketidakupayaan fizikal, masalah pembelajaran, perkembangan lewat, sindrom down, autisme, hiperaktif, cerebral palsy dan lain-lain lagi.

Mereka ini memerlukan program atau aktiviti tertentu yang bersesuaian bagi tujuan meningkatkan potensi diri dan juga melibatkan mereka dalam aktiviti sosial seperti berkawan, bermain dan hidup bermasyarakat.

Menyedari tentang kepentingan kesihatan pergigian terhadap golongan ini, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Yayasan CIMB mengambil inisiatif mengadakan program kesihatan pergigian kepada pelatih berkeperluan khas di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sinar Harapan, Permatang Manggis, Kepala Batas, Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut Ketua Projek, Dr. Norehan Mokhtar, program ini adalah bertujuan untuk menimbulkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan pergigian kepada pelatih dan penjaga mereka.

“Program ini menekankan kepentingan peranan penjaga untuk menggalakkan pelatih membersihkan gigi. Bagi pelatih yang kurang upaya serta mengalami ketidakcekapan mental, peranan penjaga amat penting untuk membantu pelatih melakukan pembersihan gigi mereka,” katanya.

“Selain daripada itu, kami berharap agar program ini dapat meningkatkan kualiti hidup pelatih melalui penjagaan kesihatan mulut yang berkesan. Dengan pembersihan gigi mengikut panduan yang betul dan berterusan akan dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan mulut pelatih,” tambahnya lagi ketika bersama pakar pergigian lain melakukan pemeriksaan gigi dalam program berkenaan.

Program ini melibatkan seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada pelatih berkeperluan khas dan program ini mendapat kerjasama yang baik daripada PDK Sinar Harapan.

Menurut Penyelianya, Noryani Abd Manap, pihaknya menyambut baik program seumpama ini dan berharap agar ianya akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Banyak ilmu baru yang diperolehi hasil daripada ceramah yang disampaikan dan sedikit sebanyak dapat membantu para petugas di sini untuk membantu pelatih yang mempunyai masalah kesihatan yang berkaitan dengan pergigian,” jelasnya.

Selain itu, aktiviti lain yang turut diadakan ialah sesi demonstrasi penjagaan kesihatan mulut, aktiviti pemulihan cara kerja, pameran dan pemeriksaan kesihatan, persembahan video serta persembahan badut.

Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid / Foto: Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 1306