Skip to main content

GAYA HIDUP TIDAK SIHAT ANTARA PUNCA KANSER MULUT

 DSC6091 A

CAMERON HIGHLANDS, 26 November 2016 – Kanser mulut adalah satu keadaan di mana sel-sel dari tisu bahagian mulut tumbuh secara tidak normal. Ia boleh melibatkan bahagian lidah, bibir, bahagian dalam pipi, gusi, lantai mulut dan lelangit. Kanser mulut sememangnya berbahaya kerana bukan sahaja memberikan kecacatan kepada struktur mulut dan muka malahan boleh menyebabkan kematian.

Menyedari tentang kepentingan kesedaran bahaya kanser mulut, Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT) dengan kerjasama Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif mengadakan program kesedaran kanser di Penempatan Orang Asli Kampung Leryar, Pos Menson, Cameron Highlands, Pahang.

Menurut Ketua Projek, Dr. Norehan Mokhtar, program ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Orang Asli tentang bahaya kanser mulut. Selain itu, program ini menekankan kepentingan pengesanan awal kanser mulut, kerana jika dikesan pada peringkat awal ianya lebih mudah untuk dirawat dan harapan untuk sembuh adalah lebih tinggi. Seterusnya program ini juga bertujuan memperkasakan Orang Asli dengan memberikan mereka pendedahan tentang pemeriksaan mulut kendiri untuk mengesan kanser mulut.

“Amalan seperti merokok, mengunyah tembakau, mengunyah sirih atau pinang dan pengambilan minuman beralkohol yang berlebihan meningkatkan risiko seseorang mendapat kanser mulut. Amalan yang dinyatakan ini sememangnya masih diamalkan oleh masyarakat Orang Asli sehingga kini dan untuk menyedarkan mereka, aktiviti seperti ceramah dan pameran mengenai kanser mulut telah diadakan dalam program ini. Selain itu, saringan kanser mulut dan demonstrasi pemeriksaan kanser mulut telah dibuat oleh pakar pergigian IPPT sebagai langkah pengesanan awal kanser mulut,’’ jelasnya lagi.

Program ini melibatkan seramai 350 orang penduduk orang asli dari Suku Kaum Semai dan turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Cameron Highlands.

Menurut Pembantu Pembangunan Masyarakat JAKOA, Encik Mohamad Shubli Saleh, pihaknya mengalu-alukan sebarang bentuk program yang dianjurkan untuk penduduk Orang Asli.

“Kami di JAKOA amat berbesar hati menerima sebarang program apatah lagi program kesihatan kerana rata-rata penduduk Orang Asli kurang mengambil berat soal penjagaan kesihatan,” katanya.

“Saya amat berharap dengan program seumpama ini akan mencetuskan kesedaran kepada mereka supaya mengamalkan amalan dan gaya hidup yang sihat,” tambahnya lagi ketika ditemui semasa program berkenaan dijalankan.

Selain daripada aktiviti kesedaran kanser turut diadakan pertandingan mewarna kepada kanak-kanak Orang Asli.

Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid / Foto: Amir Zaidi Abu Hassan

  • Last updated on .
  • Hits: 1617