Skip to main content

RAJAMANGALA UNIVERSITY THAILAND HASRAT JALIN KERJASAMA DENGAN IPPT

Rajamanggala University

BERTAM, 2 November 2016 – Delegasi Thai Traditional Medicine College (TTMC) Rajamangala University Thailand dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis (PTSS) telah mengadakan kunjungan hormat ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Kunjungan hormat ini adalah bertujuan untuk membantu TTMC mengenal pasti institusi yang sesuai untuk menempatkan pelajar mereka bagi tujuan latihan selama 4 bulan di zon utara. TTMC menawarkan kursus di peringkat Ijazah Sarjana Muda yang merangkumi bidang Spa kecantikan, urutan dan perubatan tradisional.

Timbalan Pengarah Akademik & Penyelidikan TTMC, Dr. Siriphatr Chamutpong dalam ucapannya menyatakan hasrat ingin bekerjasama dengan Kluster Perubatan Integratif IPPT bagi menempatkan pelajar mereka untuk latihan.

“TTMC ingin berkongsi ilmu dan kepakaran dengan IPPT serta yang penting sekali ialah dapat memberi pendedahan kepada pelajar mereka untuk mempelajari ilmu perubatan tradisional di Malaysia,” katanya.

Timbalan Pengarah Penyelidikan & Jaringan IPPT, Profesor Dr. Narazah Mohd Yusoff dalam pada itu menyambut baik hasrat tersebut dan berharap ianya dapat dilaksanakan bagi memenuhi keperlua dua-dua pihak.

"IPPT menyambut baik hasrat tersebut dan berharap perkara ini dapat dibincangkan dengan lebih lanjut agar kerjasama ini dapat dicapai dengan jayanya. Sekiranya TTMC serius untuk bekerjasama maka ianya perlu dimeterai dalam bentuk Memorandum Perjanjian Persetujuan (MoA) antara kedua-dua belah pihak,” katanya ketika berucap mewakili Pengarah IPPT.

Pada sesi lawatan ini, Ketua Kluster Perubatan Integratif Dr. Lim Vuanghao turut menyampaikan taklimat berkenaan dengan Kluster Perubatan Integratif IPPT. Selepas taklimat pelawat telah dibawa melawat ke Klinik Perubatan Integratif untuk melihat sendiri kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan. 

Yang turut hadir dalam lawatan ini ialah Timbalan Pengarah Perhubungan Antarabangsa TTMC Dr. Chanai Noysang, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PTSS, Encik Jamazuki Othman, Ketua Jabatan Pengajian AM PTSS, Puan Azlida Ahmad dan Ketua Jabatan Perdagangan PTSS, Puan Asmiza Osman.

Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid
Foto : Norizan Ishak

 

  • Last updated on .
  • Hits: 1044