Skip to main content

IPPT explores on Medical Tourism

CHINA, 14 Nov 2013 - Industri pelancongan kesihatan di negara ini mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sejak tiga tahun kebelakangan ini dengan penjanaan pendapatan negara yang tinggi. Usaha Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) melalui Kluster Perubatan Regeneratif dalam membantu dan melaksanakan dasar negara untuk meningkatkan daya saing dan potensi sebagai destinasi pelancongan kesihatan utama di rantau ini seharusnya dipuji.

Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) telah melakar sejarah baharu dalam bidang perubatan apabila satu perjanjian persefahaman (MoU) di antara IPPT dan Henan Engineering Laboratory for Stem Cell, Xinxiang, China di dalam bidang pelancongan kesihatan (Medical Tourism) telah ditandatangani.

Ketua Kluster Perubatan Regeneratif yang bertindak sebagai penyelaras program ini berkata, “program medical tourism ini merupakan salah satu hasrat IPPT dalam membuka keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang bertaraf antarabangsa.”

Permulaan terhadap jalinan kerjasama ini adalah apabila kunjungan pertama Prof. Dr. Narazah Mohd Yusoff ke Xinxiang, China atas lantikan beliau sebagai Research Consultant, di Xinxiang Medical University.

Lawatan balas daripada wakil Henan Engineering Laboratory for Stem Cell dan Xinxiang Medical University telah membuka lembaran baru terhadap jalinan kerjasama ini apabila mereka terlalu kagum dengan kedudukan lokasi IPPT yang sangat strategik dengan persekitaran semulajadi yang tenang. Ini ditambah dengan keupayaan fasiliti yang terdapat di Kompleks Klinikal IPPT untuk dibangunkan dalam program pelancongan kesihatan ini.

Perjanjian ini ditandatangani oleh Prof. Abdul Aziz Tajuddin, Pengarah IPPT yang mewakili Naib Canselor USM dan Henan Engineering Laboratory for Stem Cell (HELSC) diwakili oleh Dr Yulin Cao, Timbalan Pengarah HELSC.

Turut bersama dalam lawatan ini ialah Dr. Muhammad Yusri Musa, Timbalan Pengarah Klinikal dan Dr. Badrul Hisham Yahaya, Ketua Kluster Perubatan Regeneratif.

Menurut Prof Dr Abdul Aziz Tajuddin, antara initipati MoU ini adalah HELSC dan IPPT akan bekerjasama dalam membangunkan program pelancongan kesihatan di IPPT yang berasaskan rawatan menggunakan stem cell.

HELSC berpengalaman luas dalam membangunkan bidang stem cell di Wilayah Henan, China di mana beribu-ribu pesakit telah menerima rawatan dalam pelbagai penyakit hasil kepakaran mereka. Hasil daripada rawatan alternatif ini, pesakit menunjukkan keupayaan untuk sembuh sepenuhnya dan mampu menjalankan aktiviti harian mereka tanpa bantuan daripada ahli keluarga yang lain.

Kepakaran mereka ini diharapkan mampu dibawa masuk ke IPPT melalui pertukaran teknologi dan pengetahuan apabila mereka bersetuju untuk melatih tenaga pakar di IPPT sebelum rawatan ini dapat dilaksanakan sepenuhnya. Pihak HELSC juga bersetuju untuk membantu IPPT dalam membangunkan perkhidmatan perubatan berasaskan stem cell. Rawatan menggunakan stem cell ini merupakan salah satu tujahan utama penyelidikan dan perkhidmatan di IPPT melalui Kluster Perubatan Regeneratif.

Bertepatan dengan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan menarik di dunia, pihak HELSC akan bertindak sebagai perantara di antara pelanggan di China dan IPPT untuk menerima rawatan di IPPT.

Menurut Dr Muhammad Yusri Musa, “sungguhpun rawatan menggunakan stem cell merupakan tujahan utama MoU ini, ianya masih jauh untuk diterjemahkan dalam bentuk penawaran sepenuhnya perkhidmatan perubatan kepada pesakit. Ini kerana pada dasarnya IPPT telah bersedia dari segi kemudahan fasilitinya tetapi kumpulan perubatan yang terlatih perlu diberi latihan secukupnya kerana segala bentuk implikasi akan diambil kira sebelum ianya ditawarkan kepada pesakit.”

“Untuk fasa permulaan ini, kita akan memberikan rawatan yang asas berdasarkan kemampuan tenaga pakar IPPT. Penekanan yang lebih akan diberikan menerusi pendedahan keupayaan IPPT dalam bidang perkhidmatan perubatan kepada dunia terutamanya di negara China kerana ianya merupakan potensi pasaran yang besar untuk menjana kewangan IPPT,” tambahnya lagi.

Program yang akan bermula pada tahun 2014 nanti juga bakal membuka peluang yang luas kepada IPPT sebagai pusat perkhidmatan terbaik dalam rawatan penyakit terutamanya kanser memandangkan IPPT sedang menuju kearah penarafan sebagai pusat rujukan kanser utama di utara semenanjung Malaysia.

  • Last updated on .
  • Hits: 1046